Komentar   

Akhlak politik Khalid Samad rapuhkan wibawa Amanah?

pada 30-01-2018 08:01 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

[ULASAN] Benarkah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang seorang yang angkuh? Perangai buruk ini dikatakan telah dan akan mengakibatkan banyak pihak yang hilang kepercayaan dan rasa hormat terhadap beliau dan mungkin juga partinya, PAS.
 
Setakat ini, ada sekurang-kurangnya seorang ahli politik yang amat peka sikap angkuh Hadi ini. Beliau ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Abdul Khalid Samad yang meramalkan rasa hormat umum terhadap Hadi akan terus merosot, kecuali beliau berubah. 
 
"Mungkin pihak luar yang tidak pernah berada dalam barisan kepemimpinan bersama Abdul Hadi tidak tahu perangainya. Sikap Abdul Hadi dari dulu memang begitu (memperlekehkan orang),” katanya.
 
Khalid mendakwa ciri jatidiri Hadi itu selama ini tidak diketahui umum kerana ia dilindungi ramai pemimpin PAS, terutama mereka yang kini sudah berhijrah ke parti Amanah.
 
"Jika sebelum ini, bekas pemimpin PAS yang kini berada dalam Amanah banyak membantu mengawal sikap Abdul Hadi yang angkuh dan ekstrim.
 
"Tanpa kami, sikapnya yang sebenar semakin terserlah. Dia suka memperlekehkan parti lain, angkuh dan sombong, itulah sifat sebenar Abdul Hadi," katanya.
 
Khalid mendakwa, Abdul Hadi sering melabelkan pihak lain dengan pelbagai gelaran kerana berasa hanya dirinya hebat serta mengikut ajaran Islam, manakala orang lain sebaliknya.
 
Jika demikian kedudukannya bermakna PAS, nampaknya akan berhadapan keadaan politik suram. Apabila pemimpin parti tidak dihormati maka lesulah masa depan parti berkenaan.
 
Hadi, 70 tahun, menjadi presiden PAS sejak 2002 menggantikan Datuk Fadhil Nor yang pulang ke rahmatullah. Beliau menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.
 
Hadi lulusan Universiti Islam Madinah (1969 – 1973) dan kemudian Universiti Al Azhar. Beliau adalah Naib Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa pimpinan Dr Yusuf al Qaradawi.
 
Apabila tamat pengajian di Timur Tengah, Hadi menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dilantik menjadi Yang Dipertua pergerakan itu di Selangor pada 1977.
 
Beliau menyertai PAS dan bertanding dalam pilihanraya 1978 dan menang di Marang, Terengganu. Namanya harum dalam PAS dan dilantik  Timbalan Presiden pada 1989.
 
Sepanjang memimpin PAS, Hadi dikelilingi ulama. Jika beliau angkuh, sudah tentu sukar diangkat menjadi Timbalan Presiden dalam 11 tahun menganggotai PAS. 
 
Pada 2002 Hadi menjadi Presiden PAS yang digandingi ulama-ulama besar seperti Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  dan almarhum Datuk Dr Harun Din. Jika benar dakwaan Khalid Samad sudah tentu Hadi tidak lulus saringan moral kedua-dua mereka.
 
Sebagai perbandingan, seharusnya diingat bahawa Abdul Khalid bukanlah seorang ahli politik yang gemilang rekodnya. Lulusan bidang kejuruteraan itu menyertai PAS pada 1983 dan menjadi ahli Dewan Harian dari 1987-1993. 
 
Dalam PRU 1986, Khalid tewas kepada calon BN di Kuala Krai. Sementara dalam PRU 1999, Khalid  dikalahkan calon UMNO di Parlimen Arau, Perlis. Sementara dalam PRU 2004 beliau dikalahkan calon UMNO di Shah Alam.
 
Bagaimanapun apabila PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP, baru Khalid berjaya menangalahkan calon UMNO di Shah Alam pada 2008 dan mengulanginya pada PRU 2013.
 
Pada 1987, Khalid ditahan selama 9 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang.
 
Bagaimanapun Khalid adalah ahli politik ‘gempaq’ kerana rajin memanfaatkan isu-isu kontroversi demi bertahan dalam politik. Meremehkan wibawa Hadi adalah salah satu contohnya.
 
Apabila kumpulan profesional dalam PAS tewas dalam Muktamar PAS tiga tahun lalu, Khalid dan pemimpin seumpamanya meninggalkan PAS dan menubuhkan parti Amanah. Sejak itu, pusar kempen mereka ialah menyebarkan kelemahan pimpinan Abdul Hadi.
 
Ketika Hadi terus mengutamakan kerja dakwah dalam berpolitik dengan berpandukan konsep ‘matang dan sejahtera’, Amanah dan Khalid terus menyebarkan dakyah bahawa Hadi berperangai buruk dan angkuh. 
 
Konsep matang dan sejahtera Hadi termasuklah kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak (termasuk UMNO) yang memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnya, baik di dalam dan luar negara.
 
Sudah tentu di segi akhlak muslim, kelakuan Khalid ini sukar diterima. Namun rekod Khalid memang bersifat provokatif dan keras. Khalid pernah dihukum tidak layak berceramah agama di Selangor oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). 
 
Pada 8 September 2011, MAIS menolak rayuan Khalid untuk ditauliahkan berceramah agama di masjid dan surau di Selangor. Ini termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah selaras dengan perkenan Sultan Selangor.
 
Pada 6 September 2011, Khalid melanggar peraturan permit apabila memberi ceramah di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang. 
 
Pada 15 Julai 2014, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka terhadap Khalid Samad kerana mempersoalkan kuasa eksekutif  Mais dan mencadangkan kuasa itu ditarik balik. 
 
Baginda memberi amaran supaya beliau lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan namun Khalid membicarakan isu kuasa Sultan dan peranan Mais di dalam menasihati Sultan mengenai agama Islam.
 
Pada 26 Ogos 2014, Khalid Abdul Samad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta atas tuduhan mengeluarkan pernyataan berbaur hasutan berhubung kuasa eksekutif MAIS dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen, 17 Jun 2014. 
 
Pada 21 Ogos 2014, Khalid Samad menyatakan bahawa sultan tidak sepatutnya diberi hak mutlak melantik menteri besar kerana sistem yang menjadi amalan di negara ini adalah sistem raja berperlembagaan. 
 
Isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam mencetuskan kemarahan orang Islam di Malaysia. Namun, sentimen ini diperlekeh oleh Khalid yang menyatakan orang bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah dan ajaran Islam.
 
Khalid mendakwa penganjuran Majlis selawat ketika program”Cinta Allah dan Rasul” di seluruh negara oleh kerajaan adalah retorik semata-mata.
 
Katanya, Kerajaan hanya “berlakon” menjalankan program keIslaman demi kepentingan politik. 
Khalid dilihat mahu mempertahankan DAP apabila Mufti Pahang mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam yang menentang usaha memartabat Islam adalah kafir harbi. 
 
Khalid mengkritik Mufti berkenaan dan  mahu beliau disiasat kerana menghasut.
 
Khalid adalah Pengarah Komunikasi Amanah. Soalnya, adakah tindak tanduknya direstui Amanah? Jika demikian, maka akan lebih murunglah nasib parti itu kerana bergantung pada propagandis ‘kurang matang’ seperti Khalid.
 


Tags : Khalid Samad Amanah


Ruangan Komen