Komentar   

Politik 'dedalu' Pakatan Harapan terlondeh

pada 07-02-2018 05:02 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

[ULASAN] Nampaknya PKR baru sedar bahawa keikhlasan dan komitmen Parti Amanah Negara, jauh tidak sama dengan pendirian bekas saudara tahaluf siyasinya PAS; sekurang-kurangnya dari segi integritinya.
 
PAS menjadi sahabat PKR sejak ia ditubuhkan pada 1998 bukan sahaja kerana bersimpati pada nasib yang menimpa pemimpin utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘dianiayai’ oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Malah PAS tanpa banyak soal menawarkan beberapa kerusi untuk ditandingi oleh PKR (ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional atau PKN) sebagai lambang persahabatan politik yang unggul tanpa menjadikan umur “setahun jagung PKN” sebagai isu.
 
Malah apabila bekerjasama dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008, PAS secara budiman menyokong PKR untuk menerajui Selangor walaupun majoriti yang diperolehinya dalam Dewan Undangan Negeri itu bukanlah mutlak.
 
Ketika itu PKR ada 15 kerusi, DAP 13 dan PAS, 8. Sementara UMNO-BN pula memenang 20 kerusi.
 
Sikap budiman PAS itu dipamerkan sekali lagi apabila PKR menghadapi krisis dalamannya berpunca menteri besarnya suatu ketika dahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ‘keberatan’  meletak jawatan walaupun diarahkan oleh kepimpinan PKR.
 
Yang mengkagumkan ialah, PASlah yang bertanggungjawab mencalonkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali untuk menjadi Menteri Besar. Tiada sekelumit pun hasad PAS mahu menyaingi PKR untuk menduduki kerusi berprestij itu.
 
Sayugia diingat bahawa PAS selepas PRU 13 pada 2013 memiliki 15 kerusi sementara PKR 14, DAP 15, dan UMNO-BN, 12. Namun PAS tidakpun menuntut kerusi peneraju di Selangor. 
 
PAS juga istiqamah mahu menunaikan janji pilihan rayanya kepada rakyat untuk berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP ketika itu. Terharu dengan pendirian PAS itu, PKR bertegas mahu PAS terus berada dalam kerajaan Selangor walaupun sudah ditalak DAP.
 
Sungguhpun begitu luhur dan mudah pendekatan politik PAS Selangor, namun di bawah pimpinan Azmin, PKR pun  tidaklah begitu tulus melayani PAS. Dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu, PKR jelas tidak menyokong PAS.
 
PKR mendakwa ia bukan tidak sayang PAS tetapi lebih setia pada Pakatan Rakyat. Kemunculan Tun Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menghanyutkan PKR lebih jauh dari PAS.
 
Akhirnya, PAS tidak lagi mahu melayan PKR bagai menantang minyak yang penuh. PKR nyata lebih mementingkan pengekalan kuasa dan bukan budi bicara politik matang. PAS pun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR tahun lalu.
 
Pada pilihan raya umum ke-14 kelak, PAS tidak mahu bekerjasama politik dengan rakan asalnya, DAP dan PKR. Pastinya, PAS enggan bekerjasama dengan Amanah yang lahir dari tulang rusuk politiknya tetapi kini mencerca sendi dan akhlak politiknya pula. 
 
Apabila PRU14 makin dekat, PKR baru dapat melihat sisi hodoh Amanah pengganti PAS dalam pakatan pembangkang. Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas Amanah negeri itu sebagai menipu serta tidak amanah kepada rakyat.
 
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata Amanah sepatutnya memberitahu umum bahawa Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor sudah bermesyuarat empat kali bagi membincangkan isu agihan kerusi.
 
"Amanah menipu. Apa yang Dr Mahathir kata adalah tiada jawatankuasa khas. Apa yang Dr Mahathir (Mohamad) kata adalah kita ada jawatankuasa yang ditubuhkan seperti negeri lain dan kita telah berjumpa empat kali.
 
"Amanah tidak berkata benar. Amanah tidak amanah. Kami sudah berjumpa empat kali kecuali nama jawatakuasa itu sebelum ini 'Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri Selangor’ sekarang mereka mahu ubah kepada ‘Jawatankuasa Pengagihan Kerusi’, ahli jawatankuasa masih sama,” katanya.
 
Amanah Selangor sebelum ini mendesak agar PKR Selangor terutama Azmin agar patuh pada pengumuman Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad agar ditubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung isu agih kerusi.
 
Ia susulan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar bertegas mahu meneruskan rundingan itu menerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor - yang sudah empat kali bermesyuarat.
 
Perkara itu dibantah tiga parti komponen PH yang lain Amanah, PPBM dan DAP seraya mahukan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk tujuan itu.
 
Azmin dalam pada itu bertegas mahu meneruskan rundingan agihan kerusi sehingga keempat-empat parti komponen PH di Selangor mencapai konsensus.
 
“Kita sudah berjumpa empat kali bukan hanya untuk berbincang pembahagian kerusi, tetapi juga isu lain berkaitan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14.
 
“Sudah tentu rundingan kerusi adalah salah satu isu utama yang dibincangkan dalam jawatankuasa, tetapi malangnya kami belum capai konsensus empat parti dan saya rasa proses itu perlu diteruskan,” kata Azmin.
 
“Jadi adil di Selangor, awak mahu tetapkan tarikh akhir atau awak mahu proses itu diteruskan hingga kita capai konsensus? Saya ingat kedua-duanya penting?” katanya.
 
Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim sebelum ini memberitahu, PH Selangor diberi tempoh sehingga 7 Februari untuk memuktamadkan agihan kerusi, selepas gagal berbuat demikian pada 31 Januari lalu.
 
Yang pasti setiap kerabat PH menyimpan hasrat menjadi peneraju gagasan berkenaan. Bagaimanapun oleh kerana PKR sudah mengisi keperluan lebih dahulu, parti-parti lain mula menunjukkan rasa cemburu terhadap PKR.
 
Memang begitu resam politik pembangkang. Masing-masing berusaha bak dedalu tanpa segan silu melepaskan ‘pucuk dan tembolok politik’ mereka dahulu.
 
 



Ruangan Komen