Nasional   

Sofi Jikan mengaku tak bersalah ambil dadah

pada 13-02-2018 01:02 

Post Pic

 
PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC minggu lalu.
 
Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.
 
"Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,"kata pelakon KL Gangster itu, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.
 
Pelakon itu didakwa menggunakan dadah jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Februari lalu.
 
Dia yang berpakaian sut biru gelap dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun pelakon itu yang diwakili peguam Datuk Haniff Hassan memohon jaminan rendah antara RM2,000 hingga RM3,000 atas alasan tertuduh penanggung utama keluarga.
 
“Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dijalankan. Dia juga dikenali masyarakat, oleh sebab itu, tiada kecenderungan untuknya melarikan diri,” katanya.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.
 
Jumaat lalu, Sofi Jikan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.
 
Sebelum ini, pelakon itu ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara Selasa lalu ketika hadir untuk beri keterangan berhubung laporan polis oleh pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Januari lalu.
 
 
 
-sh-
 


Tags : Sofi Jikan dadah


Ruangan Komen