Nasional   

Lembaga Disiplin PPBM sekat ahli sabotaj parti

pada 13-02-2018 05:02 
Oleh Ainor Rahim

Post Pic

 
 
PETALING JAYA: PPBM telah menubuhkan satu Lembaga Disiplin sebagai usaha mengekang ahlinya mengeluarkan kenyataan tanpa pengetahuan pimpinan tertinggi, kata Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Md Noor. 
 
Jelas beliau lagi, dengan penubuhan badan tersebut segala aduan mahupun bantahan boleh dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkenaan.
 
“Pucuk pimpinan telah menubuhkan jawatankuasa disiplin untuk menangani hal-hal berkaitan dengan perkara penyalahgunaan kaedah oleh ahli parti dalam menyuarakan (pandangan). Apa-apa bantahan dan kenyataan yang dilihat bertujuan mensabotaj parti. 
 
"Mana-mana ahli yang dikira sebagai melakukan yang menjejaskan kepentingan parti boleh diambil tindakan oleh lembaga disiplin,” katanya dalam sidang media di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini. 
 
Menurut Kamaruddin, ia juga termasuk kenyataan yang dilakukan secara terbuka di media sosial, termasuk laman Facebook. 
 
Lembaga disiplin berkenaan dipengerusikan Tan Sri Sanusi Junid. 
 
Tambahnya setakat ini, tiga individu sudah pun dipecat keahliannya berhubung tindakan mereka menyelar bukan sahaja parti malah kepimpinan tertinggi parti itu. 
 
Kamaruddin turut menasihati supaya ahli tidak ‘menyerang’ PPBM dengan meluahkan rasa tidak puas hati secara terus kepada media, sebaliknya menerusi saluran yang betul. 
 
Dalam sidang media yang sama, Kamaruddin turut memaklumkan Lembaga Disiplin sedang menyiasat ahlinya yang membuat sidang media di Kota Bharu beberapa hari lepas, yang dakwanya dibuat tanpa pengetahuan pimpinan. 
 
“Ya tanpa pengetahuan. Kita pun terkejut juga.
 
"Tanpa pengetahuan ketua bahagian pun. Saya dah semak tadi dengan Tan Sri. Dia pun kata dia tak tahu. Ya sudah pasti (tanpa kebenaran). 
 
“Bergantung pada laporan yang akan kita terima. Sekarang ini sedang dibuat penyiasatan. Sama ada mereka betul. Kadang kadang kan dia kata nampak macam saya tapi bukan saya,” tambahnya. 
 
Baru-baru ini, media melaporkan akar umbi PPBM Kota Bharu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kekangan parti termasuk isu pembahagian kerusi DUN.
 
-na-



Ruangan Komen