Komentar   

Mengapa umum gerun kombinasi Anwar-Mahathir?

pada 16-04-2018 10:04 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan drama politiknya dengan berpura kaget mengapa rakyat perlu gentar dengan kombinasi politik beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi.
 
Sayugia itu, beliau cuba menawarkan alasan bahawa kegentaran itu berpunca daripada kepimpinan Umno yang resah dengan kerjasama beliau dengan mantan Perdana Menteri itu. 
 
Anwar, 70, berkata, pimpinan Umno menganggap kerjasama mereka (Anwar dan Mahathir) sebagai satu perkara  janggal kerana mereka telah bermusuhan begitu lama.
 
“Pernah saya jelaskan bahawa kesediaan Tun Mahathir menjalin persahabatan telah saya terima dengan baik, dengan semangat silaturrahim. Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun M dan Anwar,” katanya.
 
Anwar berkata, muafakat ini juga adalah kerana tekad mereka bersama untuk menjana perubahan.
 
“Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya. Skandal skala besar seperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan melalui peguamnya, minggu lalu.
 
Anwar berkata, hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum.
 
“PRU14 adalah kesempatan terbaik bagi rakyat menentukan masa depan negara menghentikan kezaliman dan membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan,” katanya.
 
Sebaliknya,  Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu mengulangi penghargaan beliau terhadap kesediaan Tun Dr Mahathir berkorban masa dan tenaga bersama PH untuk menjana perubahan di dalam PRU14.
 
Anwar berkata, penonjolan Tun Mahathir sebagai pemimpin PH mengambil kira pengalaman dan sumbangan beliau kepada negara dan terutamanya, kesediaan beliau menerima agenda perubahan.
 
"Selamatkan Malaysia dari cengkaman pemerintahan autoktratik Umno-BN. Letakkan pemerintahan yang komited menentang rasuah, penyelewangan. Letakkan Malaysia sebagai negara demokratik dan adil," katanya.
 
Anwar Ibrahim adalah seorang ahli politik. Yang jelas beliau kelihatan berasa rugi tidak berkesempatan turut berkempen dalam PRU14. 
 
Gagasan kerjasama DAP, PKR dan PAS yang dibentuknya pada 2008, yang dinamakan Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN dalam PRU13.
 
Ketika itu matlamat pembangkang ialah menumbangkan Umno-BN dan Tun Mahathir tidak dikira “sahabat politik”. Malah Anwar dan konco-konconya menghalakan serangan politik terhadap Mahathir yang dianggap ‘mahaguru’ Umno-BN.
 
Dr Mahathir ubah arah
 
Bagaimanapun bila berlaku perselisahan peribadi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Mahathir, bekas perdana menteri itu ‘menyusup’ ke dalam gerakan pembangkang yang kehilangan kepimpinan Anwar yang dipenjara kerana meliwat.
 
Mahathir kemudian menyuarakan simpatinya pada perjuangan reformasi Anwar dan Anwar pula menerima beliau dalam usaha meneruskan perjuangan membawa reformasi pada pentadbiran negara. 
 
Rakyat tidak gusar motif politik Mahathir mahu menjatuhkan Najib. Malah apabila melihat inisiatif itu dapat membantu, pembangkang lain seperti Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Muhyiddin Yassin tidak kekok ‘mempersilakan’ Mahathir sebagai pembangkang.
 
Maka berulanglah kerjasama politik Anwar dan Mahathir serta bermula persoalan keikhlasan dan ketulusan kedua-dua pemimpin politik yang telah memperkenalkan politik Machiavelli dan meretakkan perpaduan rakyat Malaysia. 
 
Anwar sebagai penekun prinsip kepimpinan Islam sedar mengapa fitnah terhadap isteri Rasulullah s.a.w., Saidatinia Aisyah r.a. mendapat pembelaan Allah s.w.t. sendiri. Wahyu melalui surah Annur itu demi menetapkan konsep empat saksi meleraikan kes sesuatu kes fitnah. 
 
Hingga hari ini Anwar menafikan terlibat aktiviti liwat. Pembelaan diri dibuatnya berkali-kali menggunakan mesej surah Annur ini. Penuduh terbesar fitnah terhadap Anwar ini ialah Mahathir. Beliau mendakwa sudah bertemu duga mangsa-mangsa Anwar. 
 
Mahathir mengisytiharkan bahawa Anwar tidak layak menjadi perdana menteri kerana maruahnya yang rendah sebagai peliwat. Pola kebenaran dan kepalsuan di antara mereka adalah bak langit dengan bumi. Namun dalam politik mereka kini bekerjasama.
 
Anwar-Mahathir politik pura-pura
 
Ini perkara prinsip. Jika Anwar dan Mahathir jujur, perkara ini perlu diselesaikan dahulu. Jika tidak mereka adalah tetap murid Machiavelli – matlamat menghalalkan cara! Najib hanya ‘kambing hitam’ untuk menyorokkan hasrat politik sebenar masing-masing. 
 
Di peringkat ini rakyat wajib mengingatkan Anwar jangan bermain silap mata politik kononnya musykil kenapa soal politik beliau dan Mahathir sesuatu yang perlu digeruni. 
 
Itu satu kepura-puraan dan mengelirukan rakyat. Soal gosip Saidatina Aisyah dilihat pulang ke Madinah diiringi Safwan Mu’attal selepas Perang Bani Mustaliq pada tahun 5 Hijrah mengundang turunnya ketetapan undang-undang empat saksi. 
 
Jika menggunakan prinsip ini tiada siapa yang boleh diterima kesaksiannya menuduh Anwar meliwat. Anwar perlu yakin pada hakikat ini. Maka tidak perlulah bekerjasama dengan si-penuduhnya, Mahathir, dengan meletakkan perkiraan politik sebagai satu keutamaan.
 
Mesej surah Annur jelas. Ia pembeza hak dengan batil. Anwar berkesempatan menggunakan prinsip Allah ini untuk membetulkan keadaan dan melanjutkan islah (reformasi) sebenar. Malangnya Anwar memilih menuruti Mahathir menjadikan Najib ‘kambing hitam’politik. 
 
Najib adalah orang yang diberi peluang oleh Allah untuk berkuasa di bumi Malaysia hari ini. Allah jua yang akan mengadili dan menghukumnya. Bagaimanapun Anwar yang bersikap Machiavelli ini boleh dilihat membelakangi Islam. 
 
Fitnah terhadap Aisyah adalah tindakan politik hina dan menjijikkan. Jika Anwar tidak meliwat, beliau patut berdakwah mengutamakan prinsip persaksian dalam Islam dan bukan membiarkan puterinya, Nurul Izzah, menjaja beliau difitnah bak Nabi Yusuf ‘alaihis salam.
 
Langkah politik Anwar memendamkan hakikat persaksian yang ditentukan Allah. Penyokong dan pengkagum Anwar patut lebih berani tidak ambil jalan singkat ini. Mereka harus berkempen meluas dan merata mengapa si-penuduh tanpa saksi ini perlu dihukumi.
 
Ini sebenarnya yang digeruni umat dan bukan pemimpin Umno sahaja. Sejarah mencatat Anwar disingkir oleh Mahathir kerana Anwar berpotensi mencabar kedudukan politiknya. Penyingkiran ini mencetuskan gerakan reformasi. Mustahil Anwar tidak menyedari ini.
 
Tidaklah perlu berpura musykil dan kaget. Yang rakyat geruni apabila kedua-duanya “bebas” menjatuhkan mana-mana kerajaan, ia pasti membuka pintu perselisihan, pertelingkahan dan perebutan kuasa pada skala yang lebih besar. Rakyat sudah tahu. 
 


Tags : umum gerun kombinasi Anwar-Mahathir


Ruangan Komen