Nasional   

Akur keputusan pucuk pimpinan, jangan sabotaj - Syed Ali

pada 16-04-2018 03:04 
Oleh Umi Faten Nadia Ezhar

Post Pic

SHAH ALAM: Ahli akar umbi dan pemimpin Umno harus akur dan berlapang dada menerima segala keputusan pucuk pimpinan berhubung soal calon pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
 
Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee akui akar umbi Umno di peringkat negeri tentu mahukan pemimpin mereka yang dipilih sebagai calon PRU selepas bekerja keras mengukuhkan jentera parti.
 
Namun mereka perlu akur bahawa pucuk pimpinan tertinggi Umno juga memikirkan faktor kebolehmenangan seseorang calon untuk dipertaruhkan bagi berentap pada 9 Mei depan.
 
"Pemilihan calon di kalangan anggota komponen BN diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN dan semua pihak perlu berlapang dada dan berkerja untuk kemenangan BN secara keseluruhannya," jelas beliau.
 
Katanya, Umno peringkat negeri hanya mengemukakan senarai nama-nama calon untuk dipertimbangkankan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti khususnya Najib selaku Presiden Umno.
 
"Di Wilayah Persekutuan contohnya, kita faham, kita fokus dan sedar kehendak ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi yang selama ini bekerja keras, mereka mahu calon pilihan mereka dengan mengambilkira persekitaran setempat.
 
"Kita buat kerja, kita hantar nama calon-calon kepada pemimpin atasan parti, tetapi apa juga keputusan kita akan terima dengan hati terbuka, pendirian kita jelas, kita bekerja untuk parti.
 
"Umno negeri sememangnya memahami kehendak mereka dan kita juga ada hasrat supaya parti mendapat lebih peluang, sebab itu  kita 'fight' supaya kita dapat apa yang kita kehendaki, tetapi jika Presiden parti memutuskan sebaliknya, maka kita kena terima dengan hati terbuka, redha dan tidak melakukan tindakan bertentangan dengan peraturan parti," katanya.
 
Kata Syed Ali, mana-mana pemimpin Umno sekiranya tidak terpilih sebagai calon PRU perlu bersependapat dengan perdana menteri bahawa kita mengutamakan agenda parti dan mendokong inspirasi BN untuik memberi perkhidmatan kepada rakyat.
 
Mengakui kemungkinan ada pihak yang berasa kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon, beliau berkata pihak berkenaan perlu bersikap positif dengan keputusan tersebut.
 
"Oleh sebab itu, jangan meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi untuk dipilih sebagai calon pada PRU kali ini, kerana jika tidak dapat apa yang dihajati, pasti akan kecewa.
 
"Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli UMNO dan komponen BN di Wilayah Persekutuan supaya memberi tumpuan dan bersatu untuk berdepan dengan pembangkang dalam usaha mengekalkan kemenangan BN pada PRU ke-14 tidak lama lagi," tegasnya.
 
 
-ze



Ruangan Komen