Nasional   

PM: Nilai masa depan negara dengan fakta, bukan berita palsu

pada 16-04-2018 04:04 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Rakyat disaran menentukan masa depan negara mengikut fakta dan bukannya berita palsu, penipuan, propaganda, janji palsu dan ilusi.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, 8sebagai sebuah kerajaan yang melindungi rakyatnya daripada bencana penyebaran berita palsu, pihaknya meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi menangani masalah berkenaan.
 
"Ia (berita palsu) boleh menggugat keselamatan negara dan kita sudah melihat banyak contoh di seluruh dunia di mana, (tindakan) yang bertentangan dengan dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), berita palsu digunakan oleh kuasa luar sebagai alat campur tangan.
 
"Peliknya, terdapat sesetengah pemimpin pembangkang yang kini mengalu-alukan (campur tangan ini) tetapi sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya boleh katakan kerajaan pimpinan saya tidak akan membenarkan campur tangan asing.
 
"Kami tidak akan berkompromi kedaulatan negara ini dengan membenarkan negara atau individu lain memberitahu kami apa yang perlu dilakukan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 di sini, sebentar tadi. 
 
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
 
Dalam pada itu, Najib berkata kesederhanaan atau wasatiyyah mengikut konsep al-Quran, adalah pertahanan penting bagi menentang ideologi ekstrem, radikalisasi dan keganasan.
 
Katanya, kerana itu beliau mencadangkan idea Gerakan Kesederhanaan Global sewaktu berucap pada sesi ke-65 Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September 2010.
 
"Di Malaysia, ia berkembang menjadi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), di mana ia menjadi pusat utama pengumpulan dan penyebaran maklumat bagi mempromosikan kesederhanaan serta melawan ekstremisme dan keganasan.
 
"Pujian harus diberikan kepada GMMF atas kerja yang dilakukan yang mana ia menyumbang kepada usaha Malaysia untuk memastikan gerakan kesederhanaan ini diiktiraf di seluruh dunia.
 
"Untuk pengiktirafan peringkat antarabangsa, saya dengan bangganya ingin berkata pada 9 Disember lalu, resolusi Malaysia berkenaan kesederhanaan diguna pakai dalam Perhimpunan Agung PBB sesi ke-72," katanya.
 
-na-



Ruangan Komen