Nasional   

PPBM failkan permohonan baru cabar keputusan RoS

pada 16-04-2018 05:04 

Post Pic

KUALA LUMPUR: PPBM memfailkan permohonan baru terhadap keputusan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menggantung parti itu selama sebulan atas dakwaan melanggar Akta Pertubuhan dengan tidak memberikan dokumen dikehendaki dalam tempoh ditetapkan.
 
Dalam satu semakan kehakiman yang difailkan Jumaat lalu, PPBM memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan RoS pada 5 April lalu, dengan mendakwa ia menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.
 
PPBM turut memohon injunksi mahkamah untuk menghalang RoS daripada mengambil tindakan lanjut membatalkan pendaftaran parti berkenaan sepenuhnya.
 
Parti itu juga mahu RoS memberi jawapan mengenai peruntukan yang dilanggar mereka sehingga menyebabkan PPBM digantung sebulan.
 
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh mengesahkan afidavit untuk permohonan semakan kehakiman itu.
 
Beliau berkata, keputusan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim menggantung parti itu selama sebulan dibuat dengan niat jahat.
 
“JPPM tidak menyerahkan notis 30 hari itu kepada pemegang jawatan PPBM seperti dikehendaki di bawah undang-undang,” katanya dipetik FMT.
 
Peguam PPBM, Rosli Dahlan berkata parti itu turut memfailkan sijil kesegeraan atau “certificate of urgency” supaya kes itu didengar secepat mungkin.
 
Pada 5 April lalu, RoS mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
 
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman PPBM bagi mencabar keputusan RoS membubarkan parti itu buat sementara.
 
Hakim, Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan kebenaran difailkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu atas alasan arahan pembubaran sementara yang dibuat JPPM di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, bersifat akademik.
 
Mahkamah itu memberitahu PPBM, ia patut mencabar JPPM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan yang memerintahkan pembubaran sementara parti itu selama 30 hari.
 



Ruangan Komen