Array


 Nasional   

Bubar DUN S'gor: MB Khalid ubah pendirian

pada 14-02-2013 07:02 
Oleh Naimah Shaari

Post Pic

 

SEPANG: Menteri Besar Selangor hari ini mengubah pendirian terhadap hasratnya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lebih awal daripada tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bercakap kepada pemberita sebentar tadi, Khalid sebaliknya berkata, perlu ada keselarasan dalam menentukan keputusan sama ada mahu membubarkan DUN atau tidak.

Beliau dalam kenyataannya bulan lalu menyatakan hasrat untuk membubarkan DUN Selangor pada akhir Februari ini, pengumuman itu dibuat pihaknya bagi mendesak perdana menteri agar segera mengumumkan tarikh PRU13.

“Ada baiknya kita adakan PRU bersama. Ini bukan PRU parlimen, tapi PRU Selangor,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Wifi Selangorku di Sepang pagi tadi.

Khalid kemudian menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan membuat pembubaran selepas sambutan Chap Goh Mei seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sebaliknya hanya pengumuman rasmi mengenai keputusan pembubaran DUN.

Pengumuman tersebut akan dibuat oleh Khalid selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang.

“Saya cakap, selepas sambutan Chap Goh Mei, kita akan buat pengumuman, bukan ‘dissolution’ (pembubaran).

“Kalau kerajaan persekutuan tidak buat pengumuman, kita akan buat pengumuman,” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain Khalid disifatkan sebagai belum bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor apabila enggan memberi respon terhadap prinsip 'satu calon satu kerusi' yang bakal direalisasikan Pakatan Rakyat pada PRU13.

Khalid yang diajukan soalan mengenai kesedian jika tidak dicalonkan untuk kerusi DUN Pakatan Rakyat walau bagaimanapun menolak sebarang kenyataan berbentuk spekulasi.

“Tak...Ini semua spekulasi, seperti yang saya telah nyatakan bahawa Pakatan Rakyat bersetuju tidak ada perkara mengenai sesiapa yang akan bertanding akan diumumkan secara serentak dan ditanda tangan oleh ketua parti di situ.

“Kita tak mahu ada spekulasi. Tunggulah apa jadi,” katanya kepada pemberita.




Ruangan Komen