ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: DHPP terima syarat Majlis Syura

pada 20-02-2013 10:02 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

 
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), Hu Pang Chaw menerima kriteria ketat pemilihan calon bagi sayap bukan Islam itu yang ditetapkan Majlis Syura Ulama.
 
Ketua DHPP, Hu Pang Chaw berkata badan itu bersetuju bahawa individu yang dipilih berpegang kepada prinsip dan perjuangan parti.
 
"Sebenarnya ia menjadi satu kriteria untuk kita memilih calon dalam PAS sama ada Islam atau bukan Islam...sebab kita kena kemukakan calon terbaik untuk dipilih oleh rakyat kerana satu parti yang memperjuangkan Islam mahukan keadilan, kesejahteraan dan yang terbaik untuk rakyat.
 
"Sudah tentu tidak akan pilih calon yang bermasalah seperti terlibat dalam rasuah, terlibat dalam penipuan, jenayah dan sebagainya sebab dalam Islam kita mahukan yang terbaik untuk rakyat. Bagi saya syarat yang dikemukakan Majlis Syura Ulama memang tepat dan boleh diterima oleh semua pihak," katanya kepada Antarapos.
 
DHPP dilancarkan pada Mei 2010 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, PAS meletakkan calon bukan Islam di Johor tetapi bertanding menggunakan lambang PKR.
 
PRU13 menjadi platform pertama PAS meletakkan calon bukan Islam secara terbuka.
 
Mahu PAS beri peluang calon bukan Islam tanding PRU13
 
Hu berkata, keputusan PAS meletakkan calon bukan Islam bertanding menggunakan logo parti merupakan satu anjakan dan perubahan dalam konteks politik tanah air.
 
Justeru tegas Hu, calon yang akan dipilih perlu menunjukkan sikap dan keperibadian yang baik kepada rakyat.
 
"Kalau mereka yang tidak menyokong perjuangan yang dibawa PAS sudah tentu mereka tidak akan menyertai DHPP, yang kedua kita nak kemukakan calon yang mewakili DHPP bertanding atas tiket PAS sudah tentu kita nak pastikan calon memenuhi kriteria.
 
"Kita bukan minta banyak kerusi, kita minta calon kita yang boleh menang diberi peluang untuk bertanding dan jumlah kerusi bukan satu isu.
 
"Ini kerana kita mahu bawa senario politik baru kepada rakyat bahawa perjuangan PAS bukan terhad kepada satu kaum sahaja," katanya.
 
Semalam, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata entiti tertinggi itu menggariskan kriteria pemilihan yang ketat dan menekankan kepada aspek keperibadian dalam memilih calon bukan Islam dari DHPP.
 
Jelas beliau, proses tapisan senarai nama calon dari DHPP yang diangkat ke entiti tertinggi parti Islam meletakkan beberapa kriteria penting yang harus dipenuhi.
 
Kata Nik Muhammad Zawawi, syarat ketat itu ditetapkan agar calon bukan Islam yang akan bertanding mempunyai sifat telus serta jujur selain bersama dalam perjuangan parti.
 
"Jadi semua ini kita rasa ia boleh membantu untuk memastikan calon-calon daripada PAS betul-betul orang yang telus dan jujur.
 
"Kita dah buat satu kajian dan kita membenarkan mereka menggunakan simbol PAS," katanya yang enggan mendedahkan jumlah senarai nama calon dari sayap penyokong parti," katanya.
 
 
 

Ruangan Komen