ISTIMEWA



 Komentar   

Perjuangan PAS Berubah- ubah

pada 25-11-2011 11:11 Ditulis Oleh  Zainal Saleh

Post Pic

KOMENTAR : Di tahap mana PAS hari ini bila dipadankan dengan perjuangan Rasulullah s.a.w.? Adakah PAS masih di zaman Arqam ? Pada awal dakwah Nabi Muhammad menyebarkan Islam muslimin terpaksa berhjimpun secara sembunyi- sembunyi di rumah Arqam ibn Abi Arqam untuk mendengar dan menghayati ajaran nabi.

Mereka bimbang jika berbincang fasal Islam secara terbuka, orang- orang Quraisy akan marah dan mungkin mengenakan tindakan ganas terhadap mereka. Betapa tidaknya, Islam ajaran Muhammad mencabar sistem agama dan ketuhanan mereka. Muhammad malah cuba melarang mereka menyembah tuhan mereka.

Atau, adakah PAS kini dah sampai keperingkat dakwah pasca Umar Al Khattab memeluk Islam. Pada tahap ini umat Islam dipimpin Umar untuk bersembahyang secara terang- terangan di sekitar Kaabah dan tidak lagi menyembunyikan keislaman mereka ?

Disuntik oleh semangat dan keberanian Umar, penganut Islam ketika itu keluar menunjukkan identiti dan citra agama mereka. Di hadapan Kaabah mereka berkumpul dan beribadat sama sekali berbeda dengan orang Quraisy yang menyembah berhala.

Atau, mungkinkah PAS sudah sampai keperingkat perjuangan nabi untuk berhijrah meninggalkan Makkah atau Taif yang bersikap kasar dan membenci Islam ? Bukan sahaja mereka cuba mematikan kewujudan Islam di Makkah dan Taif, malah orang- orang Quraisy merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w. sendiri !

Maka Rasulullah dan para sahabat mencari tapak dakwah baru. Ada yang diutus berpindah mencari perlindungan agama di Najasya dan kemudian ada yang berpindah ke Madinah atau Yatsrib. Di sini Rasulullah berusaha melobi pemipin- pemimpin Aus dam Khazraj di Madinah untuk menerima Islam dan kepemimpinan baginda sebelum menjadikan Madinah Markaz dakwah baginda.

Atau mungkinkah PAS kini sudah masuk era Piagam Madinah di mana baginda telah berjaya membentuk satu kesefahaman dengan penganut lain- lain fahaman agama termasuk Yahudi dan Nasrani untuk membangun, mempertahankan atau jatuh bersama Madinah ?

Berkat dakwah yang tulus dan tiada mengenal lelah, Rasulullah dapat menyatukan penduduk Madinah di bawah sentimen Satu Madinah dan Berjaya memujuk pemimpin pelbagai kaum dan agama menandatangani kontrak sosial dan politik untuk hidup rukum di Madinah.

Atau, mungkinkah perjuangan PAS hari ini sudah sampai ke tahap zaman pasca Perang al Ahzab yang menyaksikan tentera kufar berjumlah lebih 10,000 berundur dari pada sergapan mereka ke atas Madinah ?

Yang signifikan dalam era ini ialah Rasulullah di bawah pimpinan Ilahi memutuskan Madinah Tanah Haram bagi orang- orang kafir. Tindakan ini diambil berikutan terdedahnya tembelang sikap dan sifat membenci Islam di kalangan orang bukan Islam di Madinah terhadap Rasulullah dan pengikut baginda sehingga mereka membelot bersekongkol dengan tentera al Ahzab kufar untuk menjatuhkan Islam.

Atau, mungkinkah PAS tidak pernah mengikut tanda aras dalam perjuangannya ? PAS adalah sebuah parti politik dan PAS akan menentukan sikapnya mengikut perkembangan dan peredaran politik semasa ? Ini bererti, perjuangan PAS tiada tahap.

Atau, sekurang- kurangnya boleh dikatakan PAS cuma akan menggali sejarah dakwah Rasulullah apabila ia dapat membantunya menyelesaikan kemelut politik kontemporari yang dihadapinya ? Ini juga bererti dari segi perkaderan politiknya PAS tidak mahu terlalu terikat dengan tahap masa perjuangan Rasulullah tetapi sebaliknya mengambil iktibar daripadanya apabila perlu ?

Persoalan- persoalan ini perlu ditanya kerana pegangan PAS masih terlalu umum. Sering PAS mengatakan ia sebuah gerakan dakwah. Namun tindakannya lebih bersifat politik. Sering juga PAS mendabik dada mengatakan ia mengikut sunnah. Namun tindakan menggali sirah dan sunnah agak terpilih-pilih mengikut keperluan semasa.
 
Pemimpin peneroka PAS meninggalkan Umno kerana Umno dikatakan tidak Islam total. PAS mahu Islam. Namun PAS tertarik dengan kejayaan mullah Syiah Iran menjatuhkan Shahan Shah Iran. Maka PAS melaungkan slogan kepimpinan ulamak kepada muslim Malaysia.
 
Bila ada rungutan perjuangan PAS tidak jelas kerana saingannya Umno mula berusaha menerapkan nilai- nilai Islam dalam kehidupan, PAS cuba memperkecilkan usaha dengan menampilkan perjuangan politik lebih jelas – Negara Islam. Langkah ini ialah percubaan memperkecilkan usaha Umno yang hanya menerapkan nilai Islam dan bukan Negara Islam.

Apabila perjuangan PAS tidak terkalah materialisme Umno yang mengutamakan kuasa dan rasuah untuk hidup mewah PAS terpaksa mencari kawan untuk membunuh isme Umno-BN ini. PAS pun menemui DAP dan PKR. Percubaan berjuang bersama DAP dan PKR membuahkan hasil Umno- BN dapat dinafikan majoriti 2/3 Dewan Rakyat.

Setelah berjaya memerintah Perak seketika dan Kedah serta Kelantan sejak 1990 PAS makin yakin pendekatan berkongsi platform politik dengan DAP dan PKR akan melonjakkan peluangnya untuk menguasai Putrajaya. Maka PAS pun bersetuju untuk menjadi kebajikan slogan perjuangannya.

Soalnya, bolehkah perjuangan politik Islam itu berubah- ubah mengikut selera semasa ? Bukankah Islam itu sudah sempurna dan perjuangan Rasulullah telah menemui khulasah politik yang tuntas ? Menurut pengalaman politik Rasulullah, kekuatan politik mesti bersandar pada akidah. Kemudian ia harus disokong oleh kekuatan ekonomi, tentera dan sistem latihan dan pendidikan yang jelas.

Mengikut pengalaman Rasulullah yang disandarkan kepada kalimah- kalimah yang menetapkan corak politik Islam ialah, dalam politik tiada kompromi bab akidah. Letaklah bulan di tangan kiriku dan matahari di tangan kananku, kata Rasulullah, dengan harapan akan tinggalkan agama (Islam) ini, tidak mungkin aku melakukannya. Aku akan perjuangkan Islam atau aku hapus memperjuangkannya.

PAS sudah beberapa kali meletakkan ketepi slogan perjuangannya. PAS juga tidak mensasarkan lagi pembentukan Negara Islam dengan menjadikan Makkah dan Madinah sebagai Tanah Haram bagi kafirun. Sebaliknya PAS mahu tawan Putrajaya dahulu baru menentukan bagaimana mahu melaksanakan pemerintahan Islam lengkap dengan hududnya. Buat masa ini cukup dengan janji mewujudkan Negara berkebajikan untuk semua.

Kali ini sumber inspirasi PAS ialah gerakan Islam Turki. Bertahun- tahun Turki dibayangi pemerintahan tentera. Bijak pandai Turki dan Jemaah Islamnya bertekad, merancang dan akhirnya memperalatkan demokrasi untuk membolot kuasa di Turki. Akhirnya di bawah pimpinan Erdogan, Turki berubah wajah.

PAS pun sudah mencuba pelbagai slogan dan cara. Akhirnya, ia merasakan berkongsi pentas politik dengan kafirun adalah cara terbaik. Alasannya Rasulullah pun melalui era Piagam Madinah. Namun tidak sedarkah PAS percubaan politiki tugagal, Yahudi membelot dan hanya pertolongan Allah yang menyelamatkan akidah orang Islam dan Madinah.

Akhirnya, Rasulullah s.a.w menghunjamkan akidah sebagai senjata dan strategi ampuh untuk menguasa Madinah secara total dan menjadi pusat pengembangan Islam keseluruh pelosok bumi.Ini semua dilakukan oleh muslimin sendiri.


Ruangan Komen