Array


 Nasional   

Akta Derhaka perlu diwujudkan - Bekas hakim

pada 06-06-2013 05:06 
Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah hari ini mencadangkan supaya undang-undang menderhaka kepada Raja digubal untuk mempertahankan institusi tersebut daripada dipersenda atau dihina oleh rakyat.
 
Noor berkata setakat ini kerajaan mempunyai undang-undang yang termaktub di bawah Akta Hasutan 1948 namun ia tidak spesifik.
 
“Sesuai sekali undang-undang ini diperkenalkan kerana yang pertama rakyat di beberapa lapisan tidak tahu lagi keistimewaan kedudukan kuasa undang-undang dan Raja, jadi dia tidak tahu itu, sewenang-wenangnya mengatakan sesuatu yang derhaka kepada Agong dan Raja,” katanya.
 
“Bagi saya menghasut itu tidak mencapai kepada matlamatnya, menghasut dengan derhaka adalah lain, jadi kalau guna istilah derhaka kepada Raja itu dia ada kuasanya, maka patut ada undang-undang khas tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka,” jelas beliau.
 
Noor berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perlembagaan Malaysia’ yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis di sini tadi.
 
Sebelum ini Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ahmad Atory Hussain menyuarakan padangan tersebut ketika ditemubual Antarapos.
 
"Kita tiada undang-undang khas mengenai perkara itu baik dari segi di internet, akhbar atau pun ucapan-ucapan, kita tiada yang spesifik.
 
"Sedangkan kalau kita lihat di Thailand, mereka ada akta Raja Thailand, jadi apa jua bentuk yang menghina melalui Facebook, Twitter atau ucapan, dia akan dihukum, sama ada di luar negara atau pun dalam negara, di Thailand, dia akan dihukum," katanya.
 
Menurut Noor lagi, kerajaan perlu terlebih dahulu memberikan pendidikan mengenai peruntukan perlembagaan khusus mengenai Raja Berperlembagaan sebelum undang-undang dikuatkuasa.
 
Malah beliau berkata satu badan perlu ditubuhkan bagi mengkaji kesalahan-kesalahan derhaka terhadap Institusi Diraja yang boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian.
 
“Dia buat undang-undang dulu, dinamakan undang-undang khusus tentang kesalahan derhaka.
 
“Contohnya pertama di bawah kesalahan mempersendakan melalui perbuatan, kedua ucapan, tiga dalam bentuk karikatur atau pun dalam bentuk gambar-gambar, sindiran macam itu merupakan perbuatan yang salah, jadi perlu disenaraikan satu-satu dulu,” katanya.
 
Perdebatan mengenai undang-undang berkenaan wujud selepas seorang pemilik akaun Facebook Melissa Gooi, 32, ditahan dalam serbuan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran mempersendakan titah Yang di-Pertuan Agong.
 
Sebelum ini, Gooi dan rakan-rakannya dikatakan menulis kata-kata penghinaan di laman sosial berkenaan ketika titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
 
Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 yang ditentukan mereka sendiri.



Ruangan Komen