ISTIMEWA



 Nasional   

Perwakilan bakal ubah barisan kepimpinan PAS

pada 01-07-2013 10:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Kegagalan pemimpin utama PAS memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dilihat memberi ruang besar kepada perwakilan untuk menentukan barisan kepimpinan baru parti semasa pemilihan PAS dalam Muktamar Tahunan ke-59 November ini.
 
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat kegagalan pemimpin utama termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu, dua naib presiden Salahuddin Ayub serta Datuk Husam Musa di peringkat pusat tidak akan mempengaruhi perwakilan.
 
Beliau turut menafikan akan berlaku konflik dalaman parti berhubung perkara itu.
 
"Biasa dalam PAS ia (kalah pilihan raya) tidak mempengaruhi sangat (undi perwakilan) cuma sentimen itu ada sebab bila kita gagal atau berjaya dalam pilihan raya tentulah status serta kedudukan itu akan berbeza.
 
"Tetapi biasa dalam PAS walaupun kita gagal, ada orang melihat kegagalan itu menyebabkan dia boleh tumpu dan fokus kepada parti...kalau dia menang pilihan raya pula terpaksa fokus kepada bermacam-macam perkara.
 
"...dan kita lihat timbalan presiden (Mohamad), naib presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa juga gagal di Parlimen...saya sendiri secara peribadi juga gagal selaku ketua penerangan parti, yang menang ialah Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa hanya menang di kerusi negeri," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
"Jadi untuk pemilihan kali ini ia lebih terbuka kepada perwakilan untuk melihat siapa yang harus menerajui pimpinan parti," katanya.
 
Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan.
 
Muktamar tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.
 
Jelas Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, muktamar pada kali ini dijangka akan memberi tumpuan soal memperkukuhkan dan memperkasakan parti bersama komponen Pakatan Rakyat.
 
"Secara keseluruhan saya jangka tidak akan berlaku perubahan (barisan kepimpinan) yang besar sebab walaupun gagal dalam Pakatan Rakyat (untuk ambil alih Putrajaya) tapi parti-parti komponen telah mencapai kejayaan.
 
"Kita mungkin ada kegagalan besar bila PAS gagal mempertahankan Kedah, saya ingat ini akan jadi fokus muktamar kali ini.
 
"Yang keduanya muktamar kali ini ialah muktamar yang tiada pilihan raya, ia lebih bersifat untuk memperkukuhkan, memperkasakan kekuatan parti dan memperbetulkan semula soal tarbiyah dan ilmiah dalam parti," katanya.
 

Ruangan Komen