ISTIMEWA



 Nasional   

Kuala Besut: SPR tetapkan tarikh Jumaat ini

pada 01-07-2013 11:07 

Post Pic

 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini (5 Julai) di ibu pejabatnya di Putrajaya bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
 
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N1 Kuala Besut daripada Yang Dipertua DUN Terengganu pada 27 Jun lalu.
 
Kerusi DUN Kuala Besut di Terengganu kosong selepas penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat kanser paru-paru Selasa lalu.
 
Kamaruddin berkata satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mesyuarat khas berkenaan bagi mengumumkan tarikh hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian.
 
Pada PRU13, 5 Mei lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
 
Kerusi DUN Kuala Besut dianggap menarik kerana BN kini mempunyai 16 kerusi berbanding PAS yang memiliki 14 kerusi dan PKR satu. Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, BN menang tipis apabila berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan itu.
 

Ruangan Komen