ISTIMEWA



 Komentar   

Prestasi Siapa Janggal : Ambrin Atau Khalid?

pada 15-12-2011 05:12 Ditulis Oleh Jasbant Singh

Post Pic

KOMENTAR : Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang adalah seorang tenang, bersikap sederhana dan yang paling penting, bebas dari sebarang pengaruh politik.

Laporan tahunan beliau adalah “senjata” yang kerap digunakan oleh pembangkang untuk menyerang Barisan Nasional di atas isu-isu ketirisan dan pembaziran di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Namun tidak ada pihak di dalam Barisan Nasional yang mempertikaikan kewibawaan beliau, mahupun kecenderungan politiknya.

Walau pedas mana pun teguran dan pendedahan dibuat, laporan Ketua Audit Negara saban tahun diterima dengan baik dan tanpa masalah oleh Putrajaya.

Justeru, amat mengejut dan mendukacitakan apabila Ambrin menjadi sasaran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, semata-mata kerana laporan terbaru Jabatan Audit Negara mendedahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menanggung kerugian RM122 juta ringgit tahun 2009.

Rumusan Ambrin bahawa kerugian antara lain disebabkan KDEB terpaksa menanggung kos program air percuma 20 meter padu untuk rakyat Selangor mengundang kritikan terbuka Khalid terhadap Ketua Audit Negara itu.

“Kerajaan (negeri) faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain,” Khalid dipetik berkata dalam satu kenyataan semalam.

Tuduhan Khalid bahawa Ambrin “janggal” dengan dasar-dasar kerajaan pimpinan beliau, bukan sahaja tidak professional dan bersifat bongkak, malah tidak mencerminkan kebertanggungjawaban seorang pemimpin negeri.

Ungkapan janggal itu membawa maksud sama ada Ambrin tidak arif dalam memperinci penyata kewangan KDEB atau pun beliau tidak memahami pengurusan kewangan syarikat itu.

Lebih buruk jika Khalid cuba memberi gambaran kononya Ambrin tidak menggunakan standard operation prosedur (SOP) dalam menjalankan tugas beliau.

KDEB adalah syarikat pelaburan milik penuh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Khalid selaku Menteri Besar.

Dengan modal berbayar lebih RM260 juta dan jumlah pelaburan beratus juta ringgit dalam pelbagai sektor, KDEB menjadi pengukur dasar-dasar pengurusan dan ketelusan yang dicanang oleh Menteri Besar dan barisan EXCOnya.

Selepas mencatat keuntungan 2007-2008, prestasi KDEB berubah suram apabila ia menanggung kerugian RM122 juta tahun 2009. Anak-anak syarikatnya KDEB menanggung kerugian antara RM1.08 juta sehingga RM139.23 juta, menurut akaun syarikat itu .

Jumlah perbelanjaan jauh melebihi pendapatan.

Perbelanjaan yang paling besar ditanggung KDEB adalah pembiayaan skim air percuma sebanyak RM131.47 juta pada tahun 2009.

Selain itu, perbelanjaan penajaan gaji Persatuan Bola Sepak Selangor yang tinggi pada tahun 2009 yang berjumlah RM4.11 juta turut menjadi faktor KDEB mengalami kerugian.

Syarikat pelaburan itu yang dipengerusikan oleh Khalid juga menanggung pelbagai belanja am dan pentadbiran yang tinggi seperti gaji dan upah, perbelanjaan peruntukan susut nilai, yuran guaman, duti setem, bonus, manfaat percutian dan pelbagai belanja yang berjumlah RM10.12 juta.

Khalid nampaknya begitu sensitif apabila kerugian syarikat emas KDEB dikaitkan dengan program air percuma, justeru beliau mengkritik Amrin secara licik namun tajam.

Namun hakikat ialah Khalid tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Amrin mengenai program air percuma. Contohnya:

1. Mengapakah KDEB menanggung hutang pinjaman RM200 juta daripada kerajaan negeri bagi membiayai program air percuma itu. Program itu seharusnya dibiayai terus
oleh Perbendaharaan Negeri setelah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor.

“Pinjaman KDEB daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk membayar kos Program Air Percuma adalah tidak wajar kerana KDEB perlu berhutang dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan berkenaan,” kata Amrin dalam laporannya.

Kenyataan Khalid bahawa tidak timbul soal KDEB rugi akibat program air percuma kerana, menurut beliau, skim itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri adalah mengelirukan.

Jika itu alasan Khalid, beliau harus menjelaskan kenapa Kerajaan Negeri meluluskan pinjaman RM200 juta dengan faedah empat peratus setahun untuk KDEB membayar Syabas.

Jika benar kerajaan negeri memulangkan hasilnya kepada rakyat, kenapa KDEB perlu berhutang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program itu?

Jelas ada sesuatu yang janggal di sini. Namun yang patut membuat penjelasan ialah Khalid dan bukannya Ambrin.

Satu lagi persoalan, jika program air percuma bukan antara punca kerugian KDEB, Khalid selaku pengerusi syarikat harus memperinci faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.

Beliau perlu menjelaskan kenapa KDEB menanggung perbelanjaan yang semakin meningkat termasuk untuk bayaran bonus dan manfaat percutian sedangkan prestasi syarikat begitu muram pada tahun 2009.

Malangnya, Khalid tidak berbuat demikian dalam kenyataan medianya semalam.

Sebaliknya beliau hanya sekadar berpaut kepada slogan lama bahawa pengurusan kerajaan negeri “telus dan mengikut prosedur yang diperuntukkan.”

Janggal – prestasi sebuah syarikat seperti KDEB boleh merudum begitu cepat, sekali pun menerima sentuhan Khalid dan pengalaman luasnya di sektor korporat.

Ya, Janggal sekali.

Ruangan Komen