ISTIMEWA



 Komentar   

Iltizam Dan Muhasabah Masih Janggal Dalam PKR

pada 15-12-2011 07:12 Ditulis Oleh Jasbant Singh

Post Pic

KOMENTAR : Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berakhir kelmarin di Kulai Johor diatur untuk menghantar “amaran” kepada Umno bahawa parti itu bersiap sedia untuk merampas kubu kuat pemerintah selain menubuhkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-13. 

Jika retorik Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin-pemimpin lain dijadikan sandaran semata-mata, matlamat itu bukan omong kosong tetapi realiti politik. 

Bagaimanapun kemenangan tidak pernah berpaksikan kepada retorik  semata-mata. Kemenangan berpaksi kepada kekuatan jati diri dan keikhlasan pemimpin serta kesediaan mereka untuk bermuhasabah, menilai dan memperbaiki diri. 

Jika  aspek ini dititikberatkan, maka musuh politik yang kuat akan dilemahkan dan yang lemah akan kecundang di tangan PKR.  Gendang retorik tidak perlu dibunyikan kerana bak kata pepatah Inggeris – “Action Speaks Lounder Than Words” (tindakan lebih nyaring dari kata-kata).    

Pada perasmian Kongres PKR ke-8 itu, Timbalan Presidennya Azmin Ali menolak dakwaan bahawa PKR adalah parti paling lemah dalam gabungan Pakatan Rakyat berbanding PAS dan DAP. 

Azmin memilih untuk mencela pandangan itu dan menyifatkan PKR sebagai utuh dan kuat dari segala segi. 

Presiden Wan Azizah Wan Ismail pula mendakwa semua pemimpin parti bergerak sebagai satu saf dan senada dalam semua isu. 

Anwar pula mendakwa kekuatan PKR meningkat sekali ganda berbanding 2008 dan parti itu cuma perlu bijak memilih calon dengan memastikan tidak ada musuh dalaman yang mengkhianati PKR. 

Anwar juga tegas memperkatakan bahawa beliau, isteri dan pemimpin lain sentiasa sedia untuk diaudit dan berundur jika tidak menepati perjuangan parti. 

Justeru, bersandarkan kata-kata itu yang sememangnya sedap didengar, PKR nampaknya cukup bersedia untuk menghadapi dan memenangi PRU-13.   

Namun amat amat dikesali bahawa tidak seorang pun pemimpin PKR tampil sepanjang minggu lalu  untuk membicarakan masalah- masalah dalaman parti itu yang berpanjangan, khususnya  sejak tiga  tahun lalu. 

Tidak ada pihak yang mahu memperinci kenapa wakil-wakil rakyat parti itu sanggup menghantar memorandum Mei lalu kepada pucuk pimpinan memohon Menteri Besar Khalid Ibrahim digugurkan. 

Tidak ada pihak yang mahu membawa isu  keputusan Biro Politik yang mengarahkan Khalid supaya memecat  Setiausaha Politiknya Faekah Husin kerana sering bertindak membelakangkan kepentingan parti.  

Arahan itu bagaimanapun ditolak oleh Khalid dan sejak itu isu berkenaan ditutup begitu sahaja. 

Di peringkat akar umbi, wakil rakyat seperti S.Manikavasagam menagih perhatian daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat, khususnya bersabit isu tanah. Namun apabila Manikavasagam melahirkan rasa tidak puas hatinya di media, beliau terus dicop sebagai budak suruhan BN.     

Budaya melabelkan individu tertentu sebagai pengkhianat dan pembelot bukan perkara baru untuk individu yang tidak setuju dengan kepimpinan PKR, dan kemudian bertindak keluar dari parti. 

Manikavasagam dan beberapa ADUN lain masih “selamat” daripada kecaman blogger upahan dan kepimpinan tertinggi PKR kerana mereka terus  bersama PKR walaupun semakin sukar menegakkan perjuangan masing-masing. 

Namun bagi orang-orang seperti Mohd Ezam Mohd Noor, P. Gobalakrishanan, Zulkifli Nordin, Zahrin Hashim, Wee Chee Keong dan Mohsen Fadzli Samsuri – mereka dicop dan dilabelkan pengkhianat dan petualang yang tamak kuasa dan menjual maruah untuk wang ringgit dengan sewenang- wenangnya. 

Begitu juga dengan orang- orang lain yang kurang dikenali – contohnya Ng Lum Yoong yang merupakan antara pengasas parti itu tetapi kini bertandang ke MCA. 

Anwar mahu ahli PKR mempercayai bahawa mereka semua ini,  termasuk Mohsen Fadzli (ahli Parlimen Bagan Serai) disogok dengan wang ringgit untuk keluar daripada  PKR dan bukannya kerana mereka serta pengundi yang memilih mereka, tidak dibela oleh parti. 

Anwar, Azizah dan Azmin mahukan ahli parti dan rakyat mempercayai bahawa individu seperti Ezam dan Gobalakrishanan yang merengkok di penjara di bawah ISA telah tiba- tiba memilih wang ringgit untuk tinggalkan PKR. 

Rakyat diminta menolak sebarang kemungkinan bahawa pemergian mereka berkait dengan rasa hampa dan curiga terhadap hala-tuju PKR dan malah mungkin dengan keikhlasan Anwar sendiri dalam menegakkan kepimpinan berprinsip.  

Muhasabah adalah proses yang penting – untuk parti dan lebih- lebih lagi untuk pemimpin parti. 

Kongres PKR yang berakhir semalam menawarkan peluang paling baik untuk parti memperinci masalah-masalahnya baik di segi struktur dan organisasi mahu pun percakaran dalaman antara pemimpin. 

Sejauh manakah Kerajaan Negeri di Selangor bersih daripada tuduhan-tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa yang menjadi punca BN kalah pada PRU ke-12?. 

Bagaimana pula dengan prestasi wakil rakyat PKR dalam membela rakyat yang memilih mereka? 

Sejauh manakah ahli dan pemimpin diberi ruang menegur pemimpin atasan dan sejauh mana arahan- arahan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi dihormati ? 

Apakah rekod kehadiran pemimpin- pemimpin kanan pada mesyuarat- mesyuarat Biro Politik dan MPT?   

Semua ini penting untuk proses audit yang disebut oleh Anwar. Bagi mereka yang arif dengan politik dalaman PKR,  jelas audit di peringkat tertinggi PKR banyak  diperkatakan tetapi tidak dilakukan. 

Sebaliknya, gambaran diberikan seolah- olah parti itu dikhianati oleh mereka yang bertandang ke gelanggang lain kerana nafsu peribadi semata-mata. 

Mungkin ada yang bertindak sebegitu, namun tidak mustahil juga ada yang meninggalkan Anwar kerana tidak lagi mempercayai retorik beliau dan apa yang sedang berlaku dalam PKR yang mereka sama-sama dirikan pada tahun 1999. 

Iltizam politik dan muhasabah diri masih budaya janggal dalam PKR. 




  
  

        
   


Ruangan Komen