ISTIMEWA



 Nasional   

Menteri: Tiada tolak ansur terhadap atlet pentingkan diri

pada 29-08-2013 09:08 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan kementeriannya tidak akan bertolak-ansur dengan sikap atlet yang mementingkan diri dan mengancam persatuan sukan yang diwakilinya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemain badminton beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang menggertak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beralih sebagai pemain profesional sekiranya nama mereka tidak tersenarai ke kejohanan Badminton Superseries Terbuka Jepun, bulan depan.
 
Setakat ini, hanya pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melayakkan diri ke kejohanan berkenaan, yang dijadual pada 17 hingga 22 September.
 
"Saya tidak suka sikap sebegini... sehingga sampai tahap mengugut persatuan, sedangkan pemain itu tidak menunjukkan prestasi yang baik. 
 
"Tapi terpulang kepada BAM kerana bukan sikap sebegini kita mahukan daripada atlet negara yang terkenal di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Datuk Nicol David dan melancarkan Kejohanan Skuasy Kebangsaan keempat di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil di sini.
 
Khairy berkata beliau tidak akan membiarkan mana-mana atlet mengancam persatuan mereka, lebih-lebih lagi apabila prestasi atlet berkenaan agak mengecewakan kebelakangan ini.
 
Kien Keat dan Boon Heong gagal mencapai sasaran BAM apabila tersingkir di peringkat suku akhir ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China, awal bulan ini. 
 
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau bertemu Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff serta timbalannya, Datuk Norza Zakaria beberapa hari lepas bagi membincangkan isu berkaitan khususnya menjelang Mesyuarat Majlis BAM pada 7 September.
 
"Saya mengagumi gaya kepimpinan baharu Tengku Mahaleel, dan saya percaya sebagai tokoh badminton berpengalaman, beliau memahami dengan baik pengurusan dalam BAM, apakah kelemahan mereka, dan juga pemain. 
 
"Kami ada membincangkan cara bagaimana untuk memperbaiki program pembangunan sukan ini. 
 
"Saya menaruh kepercayaan kepada Tengku Mahaleel, dan saya tahu di bawah bimbingan beliau, kita perlu melihat perubahan positif dan keputusan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
 

Ruangan Komen