Array


 Nasional   

Pemilihan CEC 29 September ini juga tak sah, kata Tunku Aziz

pada 21-09-2013 04:09 
Oleh Nur Shakira Buang

Post Pic

PETALING JAYA: DAP sekali menghadapi kemungkinan pemilihan semula ahli jawatankuasa pusat (CEC) parti itu pada Ahad depan diisytiharkan tidak sah kerana tindakan berkenaan bercanggah dengan perlembagaan parti.
 
Menurut bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, pemilihan semula CEC parti seharusnya dilakukan menerusi Kongres Kebangsaan parti dan bukannya pada Kongres Khas pada 29 September ini seperti yang dirancangkan itu.
 
Ini kerana, katanya undang-undang tubuh parti itu menetapkan pemilihan CEC tidak boleh dianjurkan dalam mana-mana majlis lain.
 
Mengikut perlembagaan mereka sendiri, Klausa 8, Artikel 6 dan Klausa 8, Artikel 8 sebagai contoh menyatakan bahawa setiausaha agung seharusnya menghantar notis memanggil mesyuarat pemilihan sekurang-kurang 10 minggu sebelum kongres kebangsaan parti dan malah Karpal Singh selaku pengerusi berkata pemilihan sepatutnya diadakan pada November.
 
Menurut Tunku Aziz, DAP seharusnya serik dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang sebelum ini mengarahkan pemilihan CEC Disember tahun lalu diadakan semula, jika tidak mahu perkara yang sama berulang dan bakal menyaksikan pendaftaran parti itu terbatal.
 
Ini bagi membolehkan tempoh masa minimum 10 minggu diberikan. Jadi jelas, mereka ini tidak mempedulikan peraturan dan undang-undang. Mereka bersedia melanggar undang-undang  dan sekiranya dikenakan tindakan mereka akan berkata ia bermotif politik. Dengan kata lain, semua orang adalah salah kecuali setiausaha agung dan DAP. Sudah tentu juga, Umno dan BN turut akan dipersalahkan. Saya fikirkan mereka sepatutnya cerminkan diri dulu.
 
Sebelum ini, bekas ADUN DAP yang mewakili Teratai, Jenice Lee juga mencadangkan supaya DAP menangguhkan tarikh pemilihan CEC kerana percaya parti itu masih gagal menyelesaikan isu 500 surat salinan asal yang didakwa ditandatangani perwakilan DAP kepada ROS.
 
Katanya, DAP tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan semula pemilihan tersebut dan seharusnya mengemukakan bukti kepada umum jika benar surat itu wujud.
 
Sehubungan itu, Tunku Abdul Aziz mencadangkan ahli DAP khususnya perwakilan mendesak kepimpinan untuk mengadakan pemilihan serta pencalonan yang baru dan bukan sekadar mengadakan pemilihan semula.
 
Kami ingin lihat 500 surat yang beliau dakwa dimilikinya itu. Tetapi saya berpendapat pemilihan semula ini bukan pemilihan baru kerana DAP telah memutuskan mereka akan menggunakan senarai lama, senarai mereka yang bertanding dulu.
 
Mereka tidak mengeluarkan kenyataan siapa pemilih berkenaan dan juga siapa yang layak mengundi. Seperti anda ketahui, calon adalah individu yang bertanding dulu.
 
Pada pemilihan semula yang bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 29 September ini sekurang-kurangnya 2,576 delegasi dari 985 cawangan akan memilih 20 calon dalam pemilihan CEC.
 
Kali ini, DAP turut melantik auditor dari firma profesional untuk memantau proses pengiraan.
 
Pelantikan CEC parti itu yang diadakan pada Disember tahun lalu dicemari pelbagai masalah dengan terdapat dakwaan berlakunya manipulasi.
 
Antaranya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya, Kit Siang selaku penasihat DAP dikatakan mahu beberapa pemimpin Melayu diketengahkan dalam CEC agar parti itu boleh diiktiraf sebagai parti berbilang kaum.
 
Namun pada pemilihan itu, hasrat mereka tidak menjadi kenyataan.
 
Semua lapan calon Melayu yang bertanding, termasuk Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari ditolak oleh 1,823 perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional DAP ke-16 itu.
 
Sebaliknya selepas beberapa bulan kemudiannya, DAP mendakwa berlakunya kesilapan kiraan undi dan Zairil berjaya dipilih dalam CEC parti itu.



Ruangan Komen