Array


 Nasional   

Kalimah Allah: Wan Saiful 'tidak cukup umur','cetek ilmu' - Dewan Ulama

pada 18-10-2013 08:10 
Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic


SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS hari ini mempersoalkan kelantangan Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan kerana memperlekehkan kedudukan ulama parti itu ekoran ketidaksepakatan mereka menyokong pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) untuk tidak menghalang orang kristian menggunakan kalimah Allah.

Malah, Ketuanya, Datuk Harun Taib ketika dihubungi Antarapos menyifatkan Wan Saiful sebagai 'tidak cukup umur' dan 'cetek ilmu' kerana nekad untuk cuba menegakkan benang yang basah berhubung isu kalimah Allah ini.

Tegasnya lagi, semua pihak diwajibkan untuk faham erti kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan yang Esa (Tunggal) bukannya berbilang-bilang seperti yang dipercayai penganut kristian.

"Dia (Wan Saiful Wan Jan) buat-buat tahu padahal dia tidak tahu.

"Dia memperlekehkan ulama, adalah dia tahu masalah agama yang berkaitan dengan akidah ini?.

"Bukan Islam kalau nak guna boleh tapi kena masuk Islam dahulu, sebab Allah pada orang Islam adalah Maha Esa," katanya kepada Antarapos.

Wan Saiful melalui akaun Facebook miliknya hari ini dilihat sinis merendahkan ulama PAS apabila golongan itu dilihat tidak sependapat dengan kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

"Dewan Ulama tidak bersetuju dengan pandangan Presiden mengenai isi Allah? Menyatakan perbezaan melalui media? Sungguh tidak wala' kepada pimpinan, tidak intima dan tidak berakhlak jemaah golongan ulama sebegini," kata Wan Saiful.

Kenyataan Wan Saiful tersebut seolah-olah menyokong pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menghalang orang kristian menggunakan kalimah Allah.

Bagaimanapun, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din hari ini senada dengan Harun Taib menjelaskan, bahawa agama-agama lain sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah yang jelas hanya eksklusif bagi Islam.

Pendapat golongan ulama dalam parti yang menjadi sekutu PR itu jelas bertentangan menambah kekeliruan pelbagai pihak akan pendirian sebenar PAS sebagai parti yang memperjuangkan agama Islam.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS , Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh ketika dihubungi enggan mengulas kenyataan Wan Saiful yang disifatkannya sebagai tidak matang dalam mengeluarkan kenyataan.

"Saya tidak mahu komenlah tentang kenyataan budak-budak (Wan Saiful Wan Jan) itu," jawabnya ringkas.




Ruangan Komen