ISTIMEWA



 Nasional   

Demo UPSI : Polis Bebaskan Siswa, kata KAMI

pada 01-01-2012 02:01 Ditulis Oleh Raudhatul Jannah Jalidar

Post Pic

TANJUNG MALIM, 1 JAN : Kesemua 20 mahasiswa yang ditahan polis dijangka dibebaskan petang ini setelah diikat jamin selepas mereka mengadakan tunjuk perasaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah Tanjung Malim awal pagi tadi.
 
Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) Haziq Abdullah berkata mereka dijangka  dibebaskan mulai  pukul 2 petang nanti setelah memberi kenyataan kepada polis.
 
Haziq menuduh polis bertindak keterlaluan sehingga menyebabkan dua mahasiswa, Safwan Anang dan Amar Rasyidi cedera parah.

"Semalam adalah satu titik hitam untuk sejarah mahasiswa kerana daripada awal kami hanya ingin berhimpun secara aman. Tetapi campurtangan polis menyebabkan keadaan bertambah buruk.  Sepatutnya polis menemani mahasiswa dan kawal selia perhimpunan, bukan menghuru-harakan keadaan,” kata beliau kepada antarapos.
 
Polis Tanjung Malim menyuraikan tunjuk perasaan itu setelah pelajar tebabit enggan berbuat demikian walaupun diberi masa untuk menyampaikan memorandum mereka kepada pihak universiti.
 
Kekecohan berlaku apabila kumpulan 100 mahsiswa itu berkeras mahu meneruskan program 16 jam mereka untuk membantah  langkah UPSI mengenakan tindakan tata tertib terhadap Adam Adli.
 
UPSI mengenakan tindakan tatatertib terhadap Adam kerana menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno pada 17 Disember lalu bagi  mendesak Akta Universiti Kolej Universiti 1971 dimansuhkan terus.

Haziq berkata mahasiswa yang ditahan di siasat kerana berhimpun tanpa permit. Polis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini bersabit tindakan yang diambil.
 
"Semuanya sudah selesai beri keterangan. Mungkin akan dilepaskan pukul 2 petang nanti. Kami dalam lingkungan 20 orang ditahan atas kesalahan berhimpun tanpa permit"

Beliau mewakili mahasiswa yang ditahan hari ini turut menggesa Perdana Menteri, Najib Razak agar memohon maaf kepada seluruh mahasiswa yang terlibat dalam insiden keganasan polis awal pagi ini.

"Pendirian kami, menggesa Perdana Menteri, Najib Razak untuk meminta maaf kepada semua mahasiswa yang terlibat menjadi mangsa semalam,” kata Haziq.
 
Kumpulan mahasiswa berkenaan mengusung sebuah keranda dengan gambar Datuk Seri Najib.
 
Antara yang ditahan polis ialah Adam yang memimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.



Ruangan Komen