ISTIMEWA



 Nasional   

Demo UPSI Detik Hitam Kebangkitan Mahasiswa

pada 01-01-2012 03:01 Ditulis Oleh Jasbant Singh

Post Pic

KOMENTAR : Tunjuk perasaan mahasiswa yang dicemari kekerasan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, (UPSI) Tanjung Malim awal pagi tadi, pastinya mencetuskan kebimbangan terhadap hala tuju gerakan pelajar yang semakin lantang di negara ini.

Dua puluh mahasiswa ditahan, dua daripada mereka cedera – seorang di masukkan di wad dengan kecederaan ditulang rahangnya. Sebuah poliklinik di universiti itu mengalami kerosakan pada bangunan.

Polis sudah tentu akan dituduh bertindak secara keterlaluan dalam menyuraikan sebuah “perhimpunan aman”.  

Malah pembangkang dan pertubuhan mahasiswa sudah pun melontarkan tuduhan- tuduhan itu, selain menuntut Perdana Menteri Najib Razak memohon maaf kepada mahasiswa yang menyertai tunjuk perasaan itu semalam.

Kumpulan pelajar semalam mengusung sebuah keranda dengan gambar  Najib selain membawa sepanduk dan melaung slogan anti kerajaan.

Mereka merancang untuk berbuat demikian, selain membaca puisi dan menyanyi lagu patriotik selama 16 jam, satu cara yang agak unik untuk menyambut Tahun Baru 2012.

Mereka mengundang tindakan tegas polis apabila enggan bersurai setelah dibenarkan seketika untuk berdemo.

Maka berlakulah pergelutan dan insiden- insiden kekerasan apabila mahasiswa berkenaan tidak mudah menyerah diri.

Sambutan Tahun Baru di UPSI  berakhir dalam keadaan yang mendukacitakan, bukan hanya untuk mahasiswa berkenaan, malah untuk rakyat yang sudah tentu tidak mahu generasi muda dan  harapan negara menjadi sasaran belantan polis.

Sejak beberapa bulan lalu, beberapa gerakan mahasiswa semakin lantang dalam memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Kerajaan bersetuju memansuhkan Seksyen 15 akta itu bagi mengembalikan hak berpolitik kepada pelajar dan pensyarah, namun mahasiswa mendesak pemansuhan AUKU sekaligus.

Siri rundingan meja bulat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi untuk memerinci kemelut itu dan mencari penyelesaian yang memuaskan tidak cukup untuk menghentikan tunjuk perasaan dan bantahan terhadap AUKU.

Bulan lalu,  Adam Adli menjadi ikon gerakan itu apabila beliau bertindak menurunkan bendera bergambar Najib di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Malah tunjuk perasaan semalam di UPSI adalah untuk memberi sokongan kepada  Adam yang menghadapi tindakan tata tertib daripada UPSI kerana insiden penurunan bendera itu.   

Seperti yang dijangka, pertubuhan- pertubuhan mahasiswa yang lantang mengutuk AUKU dan kerajaan  mendapat sokongan kilas daripada parti pembangkang yang melihat mereka sebagai komponen penting dalam usaha menawan Putrajaya.

Kerajaan kini meniti laluan yang penuh dengan pancaroba dalam menangani keresahan mahasiswa terbabit.

Jika bertindak terlalu tegas  kerajaan terpaksa menanggung risiko dicop menganiayai pelajar dan membangkitkan kemarahan rakyat.

Jika terlalu berlembut, maka kerajaan boleh dituduh sebagai tunduk kepada tekanan politik dan membelakangkan keperluan untuk pelajar memberikan tumpuan kepada menimba ilmu pengetahuan.     

Tindakan mahasiswa seperti menyusung keranda, menurunkan bendera Perdana Menteri, melaung slogan-slogan anti kerajaan  pastinya mencemaskan pihak yang inginkan terbaik untuk anak-anak mereka di kampus.

Insiden berdarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah Tanjong Malim pada hari pertama 2012 hanya menambah keresahan dan kegusaran itu.

 
 
      
           


Ruangan Komen