ISTIMEWA



 Nasional   

Demo UPSI : Saifuddin Kesal Mahasiswa Cedera

pada 01-01-2012 03:01 Ditulis Oleh Nur Atiqah Abd Samad & Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

SHAH ALAM, 1 JAN : Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memandang serius tunjuk perasaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi yang berakahir dengan 20 mahasiswa ditangkap dan dua lagi mengalami kecederaan di muka dan kepala.

Saifuddin menerusi laman twitternya memberitahu, beliau kini sedang menunggu laporan polis bersabit insiden itu.

"Saya pandang serius insiden Tanjung Malim malam tadi. Mengikut laporan, terdapat mahasiswa yang cedera. Saya doa mahasiswa itu segera sembuh. Saya tunggu kenyataan Polis dulu," kata Saifuddin.

Saifuddin sebelum ini berkali- kali mengutarakan pendapatnya bertapa mahasiswa harus diberikan ruang untuk menyatakan buah fikiran mereka selagi ia tidak melanggar undang- undang.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Univerisiti Sains Malaysia, Dr. Ahmad Atory Hussain menegur pihak pengurusan UPSI, yang disifatkannya sebagai 'lepas tangan' dalam meleraikan tragedi berdarah semasa tunjuk perasaan itu berlaku.

"Saya kesallah, janganlah anggap mereka sebagai (demonstran) Bersih lalu, anggap mereka sebagai pelajar. Pelajar ni kita perlu dampingi mereka dengan cara psikologi, nasihat. (Mereka) perlu menggunakan pendekatan berhemah.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mendesak polis dan Menteri Dalam Negeri memohon maaf kerana didakwa melakukan kekerasan melampau ke atas mahasiswa tersebut.

Beliau juga mahukan polis yang bertanggungjawab melakukan kekerasan itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Awal pagi tadi, Kira- kira 20 mahasiswa ditahan polis setelah mereka mengadakan tunjuk perasaan membantah UPSI mengenakan tindakan tata tertib terhadap mahasiswanya, Adam Adli.

UPSI mengenakan tindakan tatatertib terhadap Adam kerana menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ibupejabat Umno pada 17 Disember lalu bagi  mendesak Akta Universiti Kolej Universiti 1971 dimansuhkan terus.

Pergelutan berlaku antara anggota polis dan mahasiswa yang mengakibatkan sekurang- kurangnya dua orang mahasiswa mengalami kecederaan di muka dan kepala.
 
Seorang mahasiswa dikenali sebagai Safuan Anang mengalami kecederaan serius di bahagian rahang manakala Amar Rasyidi cedera di bahagian hidung dan kepala.

Safwan Anang masih dirawat di hospital kerana kecederaannya dilaporkan agak serius manakala Amar menerima rawatan pesakit luar.

Pergelutan berlaku apabila kumpulan mahasiswa terbabit engkar arahan polis supaya bersurai.
 


Ruangan Komen