ISTIMEWA



 Nasional   

Demo UPSI : Ditumbuk Polis, Safwan Ambil Tindakan Mahkamah

pada 02-01-2012 03:01 Ditulis Oleh Raudhatul Jannah Jalidar

Post Pic

SLIM RIVER, 2 JAN : Aktivis mahasiswa, Muhammad Safwan Anang, 23, yang dimasukkan ke hospital Slim River, Perak semalam selepas cedera dalam perhimpunan prokebebasan akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim menegaskan bahawa polis semenangnya bertindak kasar terhadapnya dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa atas kecederaan yang dialaminya.

Safwan yang ditemui di perkarangan Hospital Slim River berkata, beliau akan membawa perkara terbabit ke mahkamah setelah bukti-bukti polis bertindak kasar terhadap mahasiswa diperolehinya.

"Saya akan ambil tindakan mahkamah.Memang dalam kejadian semalam saya dipukul oleh salah seorang anggota polis. Dan sekarang saya masih mengalami kecederaan dimana telah mengakibatkan saya sukar untuk bernafas," tegasnya.

"Kita sedang mengumpul bukti-bukti untuk ambil tindakan terdahap pegawai polis berkenaan.Diharap semua pihak tunggu kenyataan polis yang akan saya buat  dan kenyataan rasmi untuk tindakan selanjutnya selepas ini," katanya memberitahu Antarapos.com.

Safwan turut mendakwa mendakwa beliau beliau dipukul di bahagian muka ketika membantu rakannya yang diseret polis.

"Saya ditumbuk sekali di muka, kemudian diterajang dengan lutut di tulang rusuk," ujarnya.

Ditanya adakah beliau melakukan provokasi terhadap anggota polis, Safwan menafikan kenyataan itu sekeras-kerasnya.

"Saya tidak melawan pihak polis pada ketika itu, tetapi cuba menyelamatkan kawan saya daripada diherat oleh anggota polis. Jadi dalam keadaan saya nak selamatkan kawan, saya pula dipukul oleh pihak polis," tegas Safwan.

Safwan turut menjelaskan sehingga hari ini pihak polis sudah mengambil kenyataan rakan-rakannya tetapi tidak beliau.

Bagaimanapun sehingga jam 1 petang tadi seorang pegawai penyiasat telah menemuinya mengambil keterangan beliau.

"Setakat ini polis hanya ambil kenyataan berdasarkan laporan yang dibuat rakan-rakan saya sebagai saksi kejadian semalam," katanya.

Peguam kepada Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ini, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa berkenaan dalam masa terdekat.

"Kami sedang mengumpulkan bukti dan segala maklumat yang diterima memang terdapat bukti berlaku kekasaran yang luar biasa terhadap perhimpunan yang aman.

“Sehubungan itu, keluarganya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis dalam masa terdekat, dan antara defendan adalah Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak, dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian awal pagi tahun baru itu,” katanya. 

Ibu mertua Muhamad Safwan Anang, Mariam Abdul Rashid, 50, yang ditemui pemberita berkata, beliau kesal dengan insiden yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim semalam.

Malah, beliau menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam.

"Kita sangat kesal dengan tindakan pihak polis terhadap mahasiswa yang sepatutnya diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi sebaliknya berlaku seperti ini," tambahnya.

Seramai 20 aktivis mahasiswa ditahan dalam perhimpunan prokebebasan akademik di depan UPSI semalam manakala dua lagi cedera telah dikejarkan ke hospital.

Insiden terbabit dilaporkan berlaku kerana aktivis mahasiswa ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.

Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.

Dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian kerana menurunkan bendera dengan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.

Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan “tiada pergelutan” yang berlaku semasa tangkapan dibuat.
























Ruangan Komen