Array


 Nasional   

Peluang golongan ulama menguasai PAS makin tipis?

pada 18-11-2013 04:11 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

[ULASAN] Pertembungan di antara penyokong kepimpinan ulama dengan golongan yang mahu profesional memimpin dikatakan mewarnai pola pemilihan dalam Muktamar PAS ke-59 yang diadakan minggu ini.
 
Soalnya, jika ini berlaku apakah kesannya kepada arah tuju perjuangan PAS nanti? Adakah jurang perbedaan pemikiran kepemimpinan PAS akan tambah melebar? Dan, secara langsung apakah percikannya akan menjejaskan Pakatan Rakyat?
 
Sehubungan ini timbul persoalan, adakah persaingan yang bakal mencalar kesepaduan dan kejituan perjuangan PAS dapat dielakkan?
 
Kedua-dua pihak nampaknya kini semakin bersedia untuk bertarung dan keadaan ini dianggap segelintir pimpinan PAS adalah sebagai hasil “permainan pihak musuh untuk melemahkan PAS”.
 
Penyokong ulama nampaknya lebih bersedia menghadapi saingan kerana kali ini umumnya mereka mensinonimkan golongan profesional ini sebagai liberal yang berbahaya pada jatidiri PAS dan akidah ummah.
 
Lantas, walaupun ia melanggar adab perjuangan, ulama kelihatan tidak tegas menegur, apatah lagi membidas, golongan yang menggelar diri mewakili Fikrah Islamiah Pilihan Kami “menganjingkan” seorang calon bagi kerusi Ketua Pemuda yang dianggap liberal.
 
Golongan ini secara terbuka mengaku tidak mahu beberapa pemimpin yang dianggap liberal seperti Mohammad Sabu, Datuk Husam Musa, dan Datuk Mahfuz Omar menang kerana dikatakan berbahaya kepada parti dan umat Islam di Malaysia ini.
 
"Kemenangan calon-calon liberal ini sudah pasti akan menghalang usaha penyatuan ummah dan bangsa Melayu yang telah sekian lama kita idamkan bagi sebuah Negara Islam yang menjadi matlamat perjuangan seluruh pencinta parti," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus Facebook Fikrah Islamiah ini.
 
Agak jelas golongan ini adalah penyokong tegar ulama yang seakan “tidak mahu pisang berbuah dua kali” dan tidak mahu golongan liberal terus menguasai teraju kepimpinan PAS.
 
Di sudut lain, golongan profesional yang dianggap liberal juga memang lebih daripada bersedia memasuki gelanggang. Mereka sedar kejayaan dalam pemilihan lalu telah merangsang kesiap-siagaan ulama berdepan dengan pemilihan minggu ini.
 
Mereka tidak mahu kemenangan Mat Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden dan Husam serta Mahfuz berulang dalam pemilihan kali ini kerana ia pasti menyesakkan kedudukan ulama sehingga PAS dianggap hanya menjadi Pak Turut dalam pilihan raya umum Mei lalu.
 
Yang nyata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah ditonjolkan sebagai ulama bagi persaingan jawatan Timbalan Presiden dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Datuk Abu Bakar Chik pula untuk bersaing jawatan Naib Presiden.
 
Golongan liberal ini lebih mesra dengan strategi yang diatur oleh liberal lain di luar parti yang dikawal-selia oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kumpulan yang diberi jolokan Anwarinas ini berpolitik menurut model Erdogan, Perdana Menteri Turki hari ini.
 
Maka muncullah beberapa pemimpin PAS untuk cuba mereda dan mengelakkan pertembungan sia-sia ini. Mereka cuba memperkenalkan istilah alternatif bagi menghindar kekeliruan sesama ahli dan pemimpin PAS agar tidak terjebak dalam jerangkap samar musuh.
 
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Datuk Dr Mujahid Yusuf berusaha mempopularkan istilah progresif bagi memberi dimensi baru pada persaingan menentang ulama oleh golongan yang dipanggil profesional dan Erdogan itu.
 
Baginya persaingan kepimpinan dalam PAS sebenarnya bukan di antara profesional dan ulama. Ia adalah persaingan di antara golongan progresif dengan puak yang selesa dengan keadaan atau status quo PAS hari ini.
 
Beliau berpendapat semangat progresif dianuti oleh bukan sahaja profesional tetapi ulama sendiri. Golongan ini mahu PAS bergerak untuk membajak ladang perjuangan yang lebih luas dan menyeluruh dalam sistem politik Malaysia.
 
Malah, katanya, perkara ini sudah dihuraikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Haji Hadi Awang dalam satu taklimat khas pada pelbagai lapisan pimpinan PAS tidak berapa lama lalu.
 
Malangnya, kata beliau, seperti biasa taklimat berkenaan tidak mendapat liputan menyeluruh media. Lantas jika kefahaman ini dapat disebarkan meluas pasti ramai yang akan faham bahawa persaingan kali ini sebenarnya dipacu oleh hasrat untuk menjadikan PAS lebih progresif.
 
Dalam satu wawancara, ahli Parlimen Parit Buntar ini dilaporkan berkata, ramai ulama yang berpemikiran progresif mahu PAS melebarkan sayap perjuangannya merentasi sempadan kaum, agama, dan pelbagai pemikiran politik.
 
Demikian, katanya, adalah asas pemikiran politik Islam. Justeru, beliau percaya ramai ulama yang bersedia menyokong usaha meluaskan skop perjuangan PAS. Ini, tegas beliau, bukan bermakna PAS perlu tunduk pada tekanan pihak lain.
 
Apapun menjelang pemilihan hujung minggu ini, hanya ada kira-kira 25 peratus daripada 61 calon untuk kerusi jawatankuasa pusat PAS boleh dianggap ulama. Maka jika diandaikan ada di kalangan mereka sendiri yang “pro-progresif” atau haraki, maka suara calon yang dianggap ulama tulen sudah pasti tidak besar dan se-gah profesional.
 
Lantas isu seperti desakan supaya kerjasama politik atau tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat yang penyokong ulama mahu dikaji semula mungkin tidak akan berlaku dalam muktmar ke-59 ini. Suara ulama nampaknya semakin tenggelam.
 
Maka tinggallah pendokong ulama dengan media sosial seperti ‘Fikrah Islamiah Pilihan Kami’ dan juga beberapa akhbar arus perdana yang dikatakan “sebahagian daripada seteru PAS yang meletakkan jerangkap samar pertikaian profesional-ulama ini” untuk memperjelaskan perjuangan ulama sebenar dalam PAS.
 
Bagaimanapun, inilah yang diharapkan oleh golongan Erdogan. Bagi mereka sesiapa sahaja dalam PAS yang berharap sokongan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, pasti akan kalah.
 
Contohnya, mantan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Hasan Ali. Jika ramalan ini menjadi realiti, adakah ini bermakna PAS akan muncul sebagai sebuah lagi parti politik pragmatik dan bukan gerakan akidah seperti diimpikan oleh kebanyakan ahlinya?



Ruangan Komen