Array


 Nasional   

PAS belum buat ketetapan mengenai ISIS dan ISIL - Datuk Nik Zawawi [TONTON VIDEO]

pada 04-07-2014 08:07 
Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

SHAH ALAM: Setiausaha Majlis Syura PAS, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh menegaskan parti itu belum membuat sebarang ketetapan bersabit aktiviti militan, Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) dan Kumpulan Militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS).

Ujarnya sehingga kini, tiada keperluan untuk PAS menyatakan pendirian terhadap gerakan itu kerana ia tidak memberi kesan kepada parti itu.
 
Bagaimanapun, Nik Zawawi menegaskan PAS tidak membenarkan ahlinya terlibat dengan mana-mana gerakan yang tidak diiktiraf parti.
 
"Kita belum jelas ISIS ini bagaimana. Kita belum ada apa-apa pendirian (mengenai pergerakan militan). 
 
"Setakat ini kita (PAS) tidak membenarkan mana-mana ahli PAS menyertai mana-mana gerakan di luar negara kecuali gerakan Islam yang kita iktiraf.
 
"Kita hanya iktiraf gerakan-gerakan yang sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan negara kita," jelas Nik Zawawi ketika dihubungi Antarapos.
 
PAS diheret dalam kontroversi militan ISIL dan ISIS selepas bekas pemimpin akar umbi parti itu adalah individu pertama menyertai gerakan seumpama itu.
 
Lothfi Ariffin adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS Kedah sebelum bertindak melepaskan jawatannya sebelum berlepas ke negara bergolak, Syria untuk berjihad.
 
Lothfi juga dilihat secara terbuka memuat naik gambar dan rakaman video mengenainya di Syria ke laman sosialnya.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga mengesahkan Lothfi dipecat daripada parti pada tanggal 11 Mei 2013.
 
Bagaimanapun, gerakan militan itu dikatakan turut disokong menantu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Zaharudin Muhammad yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS menulis di laman sosial Facebook miliknya pada 16 Jun lalu, menyatakan kegembiraan apabila kawasan-kawasan di Iraq mula jatuh ke tangan dua kumpulan militan berkenaan.
 
"Satu demi satu daerah-daerah dan kawasan-kawasan di Iraq jatuh ke tangan mereka seperti Mosul dan sekarang mara ke Baghdad.
 
"Bukan air mata kesedihan, juga tidak pasti ia air mata kegembiraan, tetapi yang pasti ada berita tentang orang awam di Iraq mendapat pembelaan," katanya yang juga menantu kepada Presiden PAS menerusi laman Facebooknya.
 
Ketika ditanya perkembangan itu, Nik Zawawi yang juga Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS menjarakkan diri dan enggan mengulas lanjut.
 
"Itu saya tidak boleh komen..wallahua'lam," ujar Nik Zawawi.
 


Ruangan Komen