Array


 Komentar   

Najib sasar perpaduan ummah kemuncak perjuangan

pada 02-12-2016 09:12 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] Tiada selindung dan berpura-pura. Pada pagi Khamis, 1 Disember 2016, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan yakin meluahkan apa yang tersemat di hatinya – Bersatulah Umat Melayu-Islam.
 
Bagi Najib kesedaran dan tindakan ini perlu kerana Malaysia perlu harus iktibar daripada apa yang sudah terjadi dan dialami oleh umat Islam di seluruh dunia. 
 
“Sebelum nasi menjadi bubur, Mahukah kita menderita dan menerima nasib yang sama seperti yang dialami oleh umat Islam Palestin, Syria dan Selatan Filipina?,” tingkahnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-70 pagi itu. 
 
Najib berkata, Umno melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas saudara-saudara Islam, umat Rohingya di Myanmar. 
 
“Berkait ini, Kerajaan pimpinan Umno akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini. 

“Cukup-cukuplah sejarah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana  permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak tertentu, kelak menang sorak kampung tergadai,” katanya.

 
Malah beliau menyatakan akan mengetuai Umno dalam Himpunan Umat memprotes kekejaman ke atas masyarakat Islam Rohingya pada 4 Disember ini bersama Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
 
“Dari itu, sudah-sudahlah. Saya menyeru, marilah kita bersatu. Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, lupakan sengketa dan perbezaan antara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan. 
 
“Sesungguhnya, perpaduan ummah itu amat dekat di hati saya. Kalau kita boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak kita mulakannya sekarang di negara kita sendiri,” kata Najib.  
 
Presiden Umno itu menyifatkan kemuncak kepada kejayaan perjuangan orang Melayu Islam ialah perpaduan ummah.
 
“Ayuhlah, kita ubat luka itu dan jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan sesama sendiri lagi. Bak kata orang dulu-dulu: 
 
Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belum teduh,
Hati dendam jangan didendam,
Dendam yang dulu mesti disembuh”. 
 
Sehubungan itu Najib mengucapkan “terima kasih kepada sahabat-sahabat dari parti PAS, kerana matang dalam berpolitik dan kekal berada dalam Dewan Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya, dan juga tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran BERSIH”.
 
Tahun lalu, di atas nama perpaduan dalam Umno, Najib menghulurkan tangan silaturrahim kepada pemimpin-pemimpin dalam partinya yang bersilang pemikiran dengannya untuk kembali bekerjasama memperkukuhkan Umno. 
 
Namun ternyata pelawaannya itu tidak disambut oleh bekas pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdhal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. 
 
Muhyiddin dan Mukhriz kemudian menyertai mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Sementara Shafie pula mengambil alih sebuah parti politik berdaftar di Sabah dan menjenamakannya semua sebagai Warisan. Kedua-dua parti berkenaan mengisiytiharkan perang terhadap Umno. 

“Cukup-cukuplah sejarah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana  permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak tertentu, kelak menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Kali ini Najib menebarkan jaring perpaduan lebih lebar dan luas lagi – secara langsung mempelawa parti-parti yang berteraskan Melayu-Islam untuk berpadu memperjuangkan keutuhan ummah. 
 
Soal sama ada pelawaan ini disambut positif atau tidak, adalah perkara kedua. Setelah membentangkan rekod khidmat dan sejarah perjuangan Umno, kini Najib menghulurkan tangan perpaduan kepada entiti politik Melayu-Islam lain.
 
Tanpa berselindung dan berpura-pura, Najib sudah mengambil langkah pertama membina benteng perpaduan ummah. Pernyataan ini konsisten dengan tindakan Umno membantu usaha memperkasakan Mahkamah Syariah.
 
“Sesungguhnya lagi, Kerajaan indukan Umno telah membuat satu ketetapan bersejarah, apabila pada 24 November 2016 yang lalu, setelah dirunding bersama rakan-rakan dari parti PAS, maka pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 telah dibacakan. 
 
“Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. 
 
Najib menegaskan rakyat yang bukan beragama Islam, usahlah bimbang kerana mereka tidak tertakluk pada Akta berkenaan dan Kerajaan sedang mengkaji agar tidak berlaku unsur penghukuman bertindih atau dualisme.
 
Bagi Najib tanggungjawab menjamin keutuhan dan perpaduan ummah sedia dijunjung bersama lembaga Melayu lain. Begitu juga dengan tugas mempertahankan kesejahteraan di kalangan bukan Islam sentiasa dikelek bersama. 
 



Ruangan Komen