ISTIMEWA



 Nasional   

Tiada cadangan BERSIH 4.0 - Hisham Rais

pada 16-05-2012 01:05 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 tidak merancang untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 4.0 sebagai kesinambungan daripada tiga siri perhimpunan terdahulu.

Pengerusi bersama BERSIH Hishammuddin Rais berkata, setakat ini pihaknya masih belum mempunyai sebarang perancangan bagi mengadakan perhimpunan seumpama itu sebagaimana yang dicanang oleh beberapa ahli politik.

"Pada tahap ini, BERSIH tidak merancang apa-apa yang bersangkutan dengan BERSIH 4.0," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur and Selangor Assembly Hall di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi amaran untuk mengadakan perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya tidak diselesaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kadar segera.

Dalam sidang media yang sama, BERSIH 2.0 juga dilaporkan tidak berhasrat untuk bertemu pemimpin kerajaan bagi menjelaskan motif perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Datuk A. Samad Said berkata, ia adalah satu tindakan sia-sia kerana tujuan perhimpunan BERSIH 3.0 sering dilaporkan sebagai salah satu cara kotor untuk menumbangkan kerajaan.

"Untuk apa jumpa dia (Perdana Menteri) sekarang? Dia yang sedang taburkan fitnah dan berusaha berulang kali untuk mendakwa BERSIH mahu runtuhkan kerajaan.

"Kami berulang kali menjelaskan untuk beritahu tugas kami adalah mendapatkan pilihanraya yang bersih dan adil. Mereka masih juga mengatakan kita satu unsur untuk jatuhkan kerajaan," katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat satu komplot untuk mencemarkan imej BERSIH, bermula dengan kenyataan 'berat sebelah' daripada tiga bekas Ketua Polis Negara dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 


Ruangan Komen