ISTIMEWA



 Komentar   

Apabila PAS tunjukkan belang, Umno harus sahut

pada 18-05-2012 01:05 Ditulis Oleh Sharifudin Jamil

Post Pic

ULASAN Jangan lupa pada 1 Jun ini PAS akan menganjurkan perhimpunan raksasa menjelang pilihanraya umum ke-13. Muktamar Agung pun akan ditangguhkan supaya gendang pilihanraya PAS akan dengan rasminya dipalu untuk menyemarakkan semangat  ahli parti.

Matlamat  perhimpunan ini ialah untuk menyaingi Umno yang pada 11 Mei lalu sudah memerahkan Stadium Bukit Jalil sebagai menandakan ia sudah bersedia bertarung dalam gelanggang pilihanraya umum ke-13. Memang adat perang, masing-masing perlu berikhtiar untuk menggerunkan musuh.

PAS merancang mengadakan perhimpunan raksasa di Alor Star dengan menganggarkan kehadiran seramai 100 ribu orang ahli. Muktamar tahunan PAS ditangguh sehingga November tahun ini.

Namun jangan lupa pada awal minggu ini  PAS juga mengisytiharkan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan sebarang pertubuhan bukan kerajaan dan juga Umno. PAS menyatakan kesediaannya membincangkan sekecil-kecil isu seperti patut atau tidak pertubuhan sepertinya menggunakan nama Islam hingga kepada kepentingan besar orang Melayu dan Islam.

Selain itu, jangan lupa juga bahawa PAS sudah mengisytiharkan bahawa ia tidak akan laksanakan hukum hudud walaupun Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya. Ini, kata Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, bergantung kepada tiga perkara – masalah kemiskinan dapat dibasmi; pengangguran dapat di tangani dan gaji minimum munasabah dilaksanakan.  

Rasionalnya ialah, jika rakyat masih dibelit kemiskinan kerana tiada pekerjaan atau kadar pendapatan minimum tidak dapat dijamin kerajaan, bagaimana hukum hudud hendak diimplementasikan jika keadaan itu mendorong rakyat melakukan jenayah lantaran dihimpit masalah ekonomi dan kewangan?

Juga jangan lupa PAS kini tidak lagi mahu mendakap konsep negara Islam di Malaysia. PAS lebih cenderung untuk turut menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Ini kerana kaedah dan konsep Negara Islam tiada dalam al Quran. Bagi PAS hari ini, yang penting, ialah kebajikan ummah perlu diutamakan.

Pun rakyat diingatkan bahawa PAS juga boleh bersuara lantang dan berani dalam menegaskan prinsipnya. PAS, kata Ketua Dewan Ulamanya, Harun Taib, menyanggah segala pandangan bahawa ia tidak berani bersilang pendapat dengan kerabat Pakatan Rakyat.

Sekaligus Harun Taib menegaskan bahawa PAS tetap akan melaksanakan hukum hudud (apabila perlu), tidak kira sama ada rakan Pakatan Rakyat setuju atau tidak. Malah, keberanian ini juga dipamerkan oleh Pemuda PAS yang dengan tajam membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya jangan terlalu celupar menegur PAS dalam soal hukum hakam Islam

Begitu cergas dan tangkasnya PAS sepanjang dua minggu lalu. Banyak pendirian dan dasar PAS dilontarkan kepada rakyat. PAS membuktikan ia bukan hanya parti Pak Turut. Ia ada wawasan dan ia tahu bagaimana dan bila untuk menggunakan strateginya.

PAS menunjukkan ketrampilan untuk berpolitik. Merah lawan hijau. Lambang lawan lambang. Dan, PAS bersedia buka seberapa banyak gelanggang dan menghadapi pelbagai lawan serentak.

Tidak kira itu pandangan DAP mahupun PKR, PAS sanggup sanggah. Begitu juga terhadap UMNO mahupun Perkasa PAS sanggup berhujah. PAS mahu dan telah membuktikan dia tidak pernah lelah dalam perjuangan.

Cuma yang sedikit memusykilkan, apakah segala mesej yang tersurat dan tersirat PAS ini mampu menawan hati dan difahami oleh rakyat yang masih berdiri di atas pagar politik, terutama DAP?

Umum mesti faham. PAS ialah parti politik. Tindak tanduknya didorong oleh perkiraan politik. Dengan kias dan ketegasan ini, mungkin sahaja mengambil keputusan bergerak sendiri atau memilih pasangan baru dan sesuai untuk memenuhi matlamat penubuhannya – untuk kesejahteraan orang Islam dan Melayu. Ini realiti.

Najib dan Umno tidak perlu gentar dengan pameran belang PAS ini. Malah Najib wajib menyudahkan tugas yang dimulakan oleh Allahyarham ayahandanya – menyatukan orang Melayu dan Islam dalam sebuah jemaah politik yang lebih telus dan adil.


Ruangan Komen