Array


 Komentar   

Benarkah Dr Yusuf Qardawi kecam Haji Hadi?

pada 27-12-2016 08:12 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

[ULASAN] Sekecil mana pun sesebuah pertubuhan agama, budaya, ekonomi atau politik itu, seharusnya ia berusaha mencari dan merebut peluang untuk melaungkan falsafah dan pendekatan perjuangannya pada umum. 
 
Lebih-lebih lagi jika pertubuhan berkenaan adalah sebuah jemaah agama. Amat perlu idea dan halatuju kesatuan berkenaan difahami dan diwakili dalam apa jua persidangan. Begitu juga dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).
 
Perbalahan di antara mazhab bukan perkara baru dalam dunia Islam. Perselisihan di antara mazhab Syiah dan Ahlussunah wal jamaah memang sudah berabad berlaku hingga menumpahkan banyak darah. 
 
Namun menurut Islam, adalah tidak wajar perbezaan ini diperbesarkan hingga menjadi punca kelemahan ummat yang berlarutan. Forum atau muzkarah di antara kedua-dua mazhab perlu diselenggarakan bagi mengatasinya.
 
 Tradisi ini diteruskan oleh Lembaga Taqrib Mazhab Antarabangsa, di Tehran baru-baru ini. Ahlussunah diwakili oleh KUIS yang dipimpin oleh Dr Yusuf al Qaradawi. Dalam persidangan itu, KUIS diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
Hadi sedia letak jawatan
 
Ini bukan kali pertama Hadi menghadiri muktamar itu. Beliau adalah ahli Majma' Taqrib, iaitu Majlis Antarabangsa bagi Pendekatan Mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran sejak penubuhannya pada tahun 1980.
 
“Saya hadir ke situ dengan pandangan saya terhadap perpaduan ulama, tanpa mengira Sunni dan Syiah. Mereka perlu bersatu. Kena baca ucapan saya (di Tehran), saya tidak tunduk pada mana-mana kerajaan yang terpengaruh dengan Barat atau Timur.
 
“Apa yang penting ialah kepentingan Islam dan apabila ada desakan (pihak luar) ini, saya dah tulis surat kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) bahawa itulah pendirian saya. 
 
“Saya tidak terpengaruh dengan dasar Qatar, Arab Saudi dan sebagainya,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya.
 
Beliau telah menulis surat kepada Presiden KUIS, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi yang dikatakan mengecam tindakannya menghadiri sidang itu.
 
“Saya sudah tulis surat dan saya bersedia untuk letak jawatan (jika diminta). Saya pegang jawatan itu pun bukan saya minta, dia lantik saya. Saya hadir ke muktamar (kerana) dia dan saya bersedia,” tegasnya.
 
Bagaimanapun, Hadi mempersoalkan kesahihan kecaman yang didakwa dibuat oleh Dr Yusuf Al-Qardawi, memandangkan ulama itu terlalu uzur dan menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan.
 
“Saya tidak tahu kenyataan dia itu benar atau tidak. Guna alat (pendengaran) pun payah, mata pun tidak berapa nampak. Saya tidak tahu adakah benar daripada dia atau daripada orang lain. 
 
“Surat saya hantar melalui Setiausaha Agung Kesatuan (Syaikh Dr Ali Al-Qaradaghi) supaya dibaca oleh mereka.Saya mahu supaya kesatuan ulama ini ada pendiriannya, tidak dipengaruhi oleh negara Qatar atau mana-mana negara. 
 
“Saya juga dijemput oleh ulama-ulama Sunni di Iran. Kita kena sedar, 30 peratus rakyat Iran adalah Sunni. Yang hadir muktamar itu sebahagian besar adalah ulama Sunni dari Iran,” katanya.
 
Penerangan Hadi ini secara langsung mencerahkan isu di mana beliau dituduh hadir di Iran ‘tidak kena pada masanya’ sebab ketika itu rakyat Syria 'disembelih dengan kejam' dan berlaku campur tangan Iran. 
 
Mufti Perlis didakwa kritik Hadi dengan sokong Yusof Qardhawi 
 
Iran dianggap satu daripada negara yang menyumbang serta menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang pemberontak di Syria.
 
Isu ini hangat di Malaysia apabila Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat kenyataan terbuka menyokong pendirian Dr Yusuf Qardawi yang menganggap tidak wajar KUIS menyertai persidangan itu. 
  
"Bukan isu menziarahi Iran ataupun bersalaman dengan Syiah, tapi isu kejahatan mereka pada waktu ini. Mereka yang matang siyasah, tegap keinsanan serta teguh pegangan pasti cuba mengelakkan hal ini," kata Asri.
 
Asri juga dilaporkan mempersoalkan apakah Hadi bersuara lantang dalam menegur kezaliman Syria ke atas rakyatnya di Allepo dalam persidangan itu.
 
“Namun secara peribadi yang saya lihat, setakat yang dilaporkan media, saya tidak nampak apa-apa kritikan yang tegas terhadap Iran. Sebaliknya ucapan Hadi memuji Iran dari awal hingga akhir.
 
"Hadi patut mempunyai kenyataan yang lebih tegas dan jelas. Jika itu berlaku, saya rasa pengkritik Hadi tidak ada banyak alasan untuk mengkritik," tegas Asri.
 
Bagaimanapun kenyataan Asri itu disanggah oleh penyokong Hadi. 
 
"Ia timbul kerana melihat kepada pertembungan antara Sunni dan Syiah tetapi Tuan Guru Presiden melihat ini sebagai satu (kelaziman) dalam politik antarabangsa. 
 
“Pertembungan Sunni-Syiah tu memang sengaja diwujudkan kuasa-kuasa besar untuk menimbulkan suasana tidak tenteram di negara umat Islam," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 
 
Malah beliau mendakwa ada pihak terutamanya di Barat yang mahu mengalih isu yang lebih besar berhubung tindakan Zionist-Israel terhadap Palestin kepada pertembungan Sunni-Syiah.
 
Sebagai seorang mufti sudah tentu Asri faham adab membuat teguran terhadap orang lain, terutama jika pihak yang hendak ditegur itu seorang ulama. Dengan menyokong Yusuf Qardawi bererti beliau mempertikaikan usaha Haji Hadi. 
 
Kenapa Dr Asri hanya rujuk laporan media?
 
Menurut beliau sendiri, rumusan yang dibuatnya  mengenai ucapan Hadi hanya bersandar pada laporan media dan beliau nampaknya tidak berusaha merujuk pada empunya badan.
 
Kisah Yusuf Qardawi “mencampuri” politik Malaysia bukan baru. Menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu, Dr Yusuf dikatakan menulis surat terbuka pada parti-parti politik Malaysia, termasuk DAP, supaya menyokong Datu Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
 
Bagaimanapun surat itu dianggap ramai sebagai palsu dan gagal mendorong pembangkang menjatuhkan kerajaan Umno-BN. Kali ini Hadi juga mencurigai kesahihan apa yang dikatakan surat kecaman Dr Yusuf. 
 
Yang menyedihkan, maklum peringatan Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal.”
 
Ayat 6 surah al Hujurat itu dipetik oleh Asri sendiri dalam bukunya, “Menjawab Persoalan, menjelaskan kekeliruan” pada halaman 485 terbitan Karya Bestari Sdn Bhd. 
 
Dalam mempertahankan integriti dan iman Imam Ibnu Taimiyyah, Dr Asri menggunakan ayat berkenaan untuk mengukuhkan pertanyaan, “apakah wajar kita menerima sesuatu cerita yang mentohmah seorang muslim…”? Mengapa Asri hanya bergantung pada laporan media berhubung peranan Hadi di Tehran?
 
Seorang mufti juga seharusnya insaf betapa apa yang disebutkannya di depan khalayak ada kesannya. Dengan memilih menyokong kenyataan Dr Yusuf yang dilaporkan media (bukan Islam?) sebenarnya beliau mengkritik Hadi.
 
Bagi Hadi usaha mendamaikan umat Islam yang bertelingkah bukan baru. Beliau terbabit dengan rundingan di Yaman dan bersedia merintis jalan damai di Selatan Thailand dan Selatan Filipina. 
 
Melalui isu ini Hadi juga bersedia letak jawatan KUIS. Datuk Asri Zainal Abidin pula bagaimana?
 



Ruangan Komen