Array


 Komentar   

Mahathir mahu tentukan halatuju kerajaan pembangkang?

pada 28-12-2016 08:12 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Belum pun masuk gelanggang Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudahpun menempah kerusi kuasanya dalam kerajaan yang diimpikan akan ditubuhkan oleh pembangkang – penasihat kerajaan.  
 
Bekas perdana menteri itu yakin jika beliau mengisi kerusi penasihat kerajaan baru itu kelak, beliau mampu membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi negara.
 
“Jika mereka (pakatan pembangkang) mengambil alih sebagai kerajaan (persekutuan) dan biar saya jadi penasihat, saya akan buat apa yang mampu untuk selamatkan negara daripada masalah kewangan,” katanya.
 
Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily minggu lalu, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu optimis pembangkang boleh mendapatkan semula sekurang-kurangnya 50 peratus dana Malaysia jika jadi penasihat kerajaan.
 
Beliau juga yakin berupaya mencari pendapatan bagi menutup separuh lagi kerugian ditanggung negara. Mahathir berceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, kubu kuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
 
Kenyataan Mahathir ini membayangkan bahawa beliau tidak akan berhenti “mencampuri urusan” kerajaan walaupun mungkin berjaya menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
Pendirian mutakhir Mahathir ini sudah tentu menggetar keyakinan dan semangat persefahaman rakan-rakan politik partinya seperti DAP, PKR dan Amanah bahawasanya jika menang PRU 14, Mahathir akan membayangi mereka.
 
Bagaimanapun Amanah, menegaskan, meskipun Mahathir mungkin menjadi penasihat perdana menteri, beliau tidak akan diberi kuasa eksekutif .
 
"Saya tidak fikir (itu akan berlaku) kita tahu bahawa penasihat tidak ada sebarang kuasa eksekutif di mana-mana pun. Dia tidak boleh membatalkan sebarang keputusan yang telah dibuat dalam Parlimen, Kabinet. 
 
"Dia tidak ada kuasa, cuma ada pengalaman yang membolehkan dia beri pandangan dan akan dipertimbangkan oleh sesiapa pun yang menjadi PM," kata Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir. 
 
Belum tentu rakan komponen PH setuju
 
Dalam pada itu, sekiranya mahu menjadi penasihat kerajaan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bersedia dengan kemungkinan tidak semua pandangannya akan diterima pucuk pimpinan. 
 
Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub berkata, Mahathir perlu bersikap terbuka kerana kuasa pemutus untuk setiap dasar mahupun polisi terletak di tangan badan eksekutif. 
 
"Saya kira penasihat mungkin bukan seorang, mungkin (ada) panel penasihat. Mana-mana Perdana Menteri atau pucuk pimpinan negara ada panel penasihatnya, dan Tun Mahathir boleh jadi salah seorang daripadanya. Tak semestinya terikat kepada Tun Mahathir seorang saja.
 
"Saya kira, kalau sifatnya panel, terserah kepada pucuk pimpinan untuk menerima atau tidak pandangan atau nasihat itu. Cuma Tun Mahathir, perlu bersikap sebagai negarawan yang tidak memaksa mana-mana pandangan untuk mesti didengari. Perkara ini patut difahami oleh beliau sejak awal," katanya.
 
Bibit penentangan untuk memberi kedudukan istimewa dan berkuasa kepada Mahathir daripada kalangan kerabat PH adalah agak jelas. DAP enggan terburu-buru membincangkan isu itu kerana nampaknya isu siapa calon Perdana Menteri dari kalangan pembangkang belum dimuktamadkan. 
 
DAP mahu bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan berkenaan, bagaimanapun jika pelantikan itu tidak boleh dilakukan segera, isterinya yang juga Presiden PKR. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sementara. 
 
Pendirian DAP itu dikongsi oleh Amanah. Adalah sukar dibaca jika keberangkalian pembangkang menang PRU ke-14, cadangan DAP itu akan dapat dijadikan kenyataan. 
 
Pembangkang perlu ikut telunjuk Mahathir
 
Ini kerana memang menjadi tabiat Mahathir dalam sejarah 22 tahun memerintah negara, beliau fokus dan tegas untuk menentukan keputusan muktamad hanya dibuat olehnya. 
 
Tertakluk pada keputusan pencapaian parti-parti pembangkang, Mahathir akan mempamerkan “kedegilannya” sekali lagi jika PPBM mencatat rekod baik dalam PRU itu kelak.
 
Apapun Mahathir sudah mengisyaratkan bagaimana dan siapa yang memerintah Malaysia jika pembangkang menang walau DAP dan PKR nampaknya masih keberatan dan bertegas mahu calon perdana menteri mereka sahaja dipilih. 
 
Kedua-dua parti ini nampaknya belum mahu percaya penuh keikhlasan Mahathir berjuang bersama pembangkang. 
 
Sebelum ini Mahathir pernah mengumumkan di London bahawa Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilantik perdana menteri jika BN dapat ditumbangkan. 
 
Ketidaktentuan nampaknya menanti kerajaan Pembangkang selagi Mahathir masih bebas menentukan apa yang “terbaik” untuk negara, kerajaan pembangkang dan partinya yang belum pernah bertanding pilihanraya umum berbanding PKR dan DAP.
 
Mahathir sebelum ini mencadangkan pada prti-parti pembangkang supaya jangan mengumumkan nama bakal perdana menteri pembangkang kerana dikhuatiri ada pihak yang tidak berpuashati. 
 
Bagaimanapun Mahathir juga membayangkan sesiapa sahaja yang menjadi perdana menteri seharusnya melantik beliau menjadi penasihat. Jika perkara ini tidak dapat dimuktamadkan sekarang, apa jaminannya ia boleh dilakukan selepas PRU 14?
 



Ruangan Komen