ISTIMEWA



 Komentar   

PKR dan DAP akur program teokrasi PAS?

pada 01-05-2012 11:05 Ditulis Oleh Sharifudin Jamil

Post Pic

Teokrasi ialah sistem kerajaan yang menggunakan hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara. Dalam konteks Malaysia, ia bukan sesuatu yang keseluruhannya tidak baik untuk rakyat tetapi pelaksanaannya perlulah direstui oleh majoriti rakyat.

Inisiatif  yang diambil oleh kerajaan PAS Kedah yang meluluskan  Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) mungkin satu langkah kerajaan pimpinan PAS untuk menjadikan teokrasi dasar pemerintahan negeri-negeri di bahawa urustadbirnya.

Sebelum ini, Kerajaan PAS Kelantan telah mengkanunkan Enakmen Syariah pada 1993 sebagai asas melaksanakan hukum hudud di negeri  itu. Sehubungan itu, Kerajaan Terengganu semasa di bawah pemerintahan PAS di antara 1999 hingga 2004, juga telah mengambil inisiatif yang sama.

Yang jelasnya ialah, meskipun usaha PAS ini mungkin akan menghadapi halangan di sudut Perlembagaan Negara untuk menuju ke arah sebuah pemerintahan teokrasi, PAS mengambil tindakan demikian mungkin untuk menyediakan prasarana perundangan demi “menghalalkan” langkah pemula kepada cita-cita menghayati sistem teokrasi Islam ini.

Namun dalam konteks Kedah, jika tidak dicabar, Jawatankuasa Fatwa Kedah akan bebas menimba dan menghimpun fatwa bagi melorongkan kerajaan PAS melengkapkan usaha memerintah mengikut dasar teokrasi. Ketika itu setiap usaha menganut pemerintahan teokrasi akan menjadi muktamad – tiada sebarang mahkamah, baik sivil ataupun syariah, boleh menggugat ketetapan fatwa.

Mungkin ini sebabnya mengapa pimpinan PAS masih keberatan untuk memperjelaskan maksud ia berdiam diri. Mungkin inilah agenda PAS sebenarnya. Menyedari ia tidak mungkin boleh menguasai Kerajaan Pusat sendirian maka strategi PAS mungkin untuk menggabungkan diri dengan parti-parti berpengaruh lain seperti dengan PKR dan DAP untuk menakluki beberapa negeri terlebih dahulu.

Pada realitinya paling banyak PAS hanya berpeluang bertanding kira-kira 60 hingga 65 kerusi Parlimen yang mempunyai 60 peratus pengundi majoriti Islam dan Melayu. Begitupun, PAS tidak yakin boleh menang kesemuanya. Bagaimanapun di negeri-negeri majoriti Melayu-Islam, PAS masih berpeluang menubuhkan kerajaan negeri seperti yang berlaku sekarang di Kedah dan Kelantan.

Jika kerjasama dengan DAP dan PKR berterusan, kemungkinan PAS menambah bilangan kerajaan di Terengganu dan Pahang (dan kini mungkin termasuk Johor) memang agak lebih besar.

Tujuannya apabila menang pilihan raya akan datang, soal persetujuan persempadanan pengaruh (sphere of influence) di antara kerajaan negeri-negeri Melayu yang dipimpin oleh PAS dengan kerajaan negeri-negeri yang majoriti seimbang di antara kaum yang dikuasai kerabat  Pakatan Rakyat lain akan sudah sedia tercapai.

Negeri-negeri lain boleh terus dengan sistem demokrasi, dan PAS akan bebas menganut teokrasi! Cara ini PAS akan tidak menghampakan penyokong tegarnya yang mahu pemerintahan secara Islam total.

Di satu sudut strategi ini memang baik untuk melunturkan kekangan Perlembagaan Negara terhadap cita-cita Islam PAS. Namun seharusnya PAS bersikap lebih jujur kepada kerabat Pakatan Rakyatnya. Malah ia harus lebih berani dan telus kepada rakyat umumnya jika demikian itulah halatujunya.

PAS seharusnya tidak cuba “menyeludupkan” sistem teokrasi di sebalik wayang kulit Pakatan Rakyat. 

Paling mencabar ialah persoalan, apakah sememangnya inikah niat PAS?

Bahawasanya ia merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat hanya untuk mendapat mandat memerintah seberapa banyak negeri majoriti Melayu-Islam dan kemudian melaksanakan pemerintahan dua sistem politik – demokrasi dan Islam?

Ini bukan ganjil ketika di bawah naungan penjajah British, Tanah Melayu ditadbir menurut konsep Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States).

Jika itu berlaku, tidakkah itu akhirnya memenuhi impian perjuangan PAS dan pada masa yang sama memberi peluang rakyat bukan Melayu-Islam terus bernaung di bawah sistem demokrasi berperlembagaan seperti sekarang?

Cuma yang mungkin menjarakkan skim pembahagian “sfera kepentingan politik” Pakatan Rakyat ini ialah jiwa dan semangat sebenar rakyat Malaysia dalam menghayati ideologi demokrasi dan kekentalan penjiwaan mereka terhadap pengertian mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang tulen meskipun berdiri atas nama pelbagai keturunan.


Ruangan Komen