ISTIMEWA



 Komentar   

Jadilah pembangkang yang berhemah!

pada 01-05-2012 11:05 

Post Pic

Memang tidak dapat menafikan bahawa kehadiran pakatan pembangkang adalah satu trend yang  bersifat universal.

Di mana-mana negara di seluruh dunia, sudah pasti akan wujud parti-parti pembangkang.

Ada  parti pembangkang berhaluan kiri, berhaluan tengah mahupun yang bersifat kuku besi.

Rata-ratanya menggunakan platform massa dan emosi rakyat sebagai senjata utama untuk meraih kekuasaan.

Trend ini bukan sahaja berlaku di Malaysia sebaliknya sesuatu yang lumrah di seantero pelosok dunia.

Hakikat bahawa kehadiran pembangkang bersifat universal menjadikan senario politik sesebuah negara itu semakin menarik dan sukar untuk diramalkan.

Apabila kita bercakap mengenai pembangkang, perkara pertama yang sering kali terlintas dalam fikiran umum ialah mereka ini merupakan “pengacau” dan pencipta ketidakstabilan. Konotasi negatif sering kali menguasai pemikiran umum.

Bagaimanapun dari perspektif segelintir rakyat pula, mereka percaya bahawa kehadiran pembangkang dalam lanskap politik adalah sesuatu yang perlu.  

Sekurang-kurangnya dengan kehadiran pembangkang, akan wujud semak dan imbang (check and balance) kepada dominasi sesebuah kerajaan yang terlalu berkuasa.

Lebih signifikan lagi, ia juga menandakan berakhirnya era penguasaan yang terlalu dominan oleh sesebuah parti politik.  Dengan keadaan sedemikian, sesebuah kerajaan yang berkuasa tidak boleh lagi melaksanakan sesuatu dasar secara sewenang-wenangnya.

Di Malaysia umpamanya, senario politik sejak Pilihan Raya Umum 2008 telah menuju ke arah yang dimaksudkan.

Boleh dikatakan bahang politik pembangkang mencecah ke satu suhu yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Cukup panas, cukup kecoh dan cukup dramatis!

Pembangkang dilihat semakin berani bersuara, menentang dan mengugut kerajaan agar tunduk kepada desakan-desakan yang dikemukakan.

Apabila ada sahaja isu-isu semasa yang gagal ditangani baik oleh kerajaan, mereka akan mengugut mengadakan demonstrasi jalanan sebagai satu strategi untuk menekan kerajaan.

Namun apa yang tidak disedari pembangkang dalam usaha untuk merobek kredibiliti dan integriti kerajaan di mata umum, pendekatan membangkang yang bersifat keterlaluan hanya akan memakan diri.

Adalah sesuatu yang kurang bijak di pihak pembangkang untuk menganggap bahawa takuk minda semua rakyat di negara ini adalah sama dan dengan itu, semua pihak akan menerima perjuangan mereka.

Kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negara ini, masing-masing dengan kepercayaan serta agamanya tersendiri menjadikan usaha itu lebih kompleks.

Ada yang gemarkan politik pembangkang yang agresif dan tidak kurang juga yang lebih cenderung kepada politik kesederhanaan.

Apa yang jelas, jika ingin membangkang sesuatu pun perlu kena caranya. Membangkang biarlah secara berhemah dan seiring semangat demokrasi yang sihat.  

Kepada pembangkang, jangan asyik membangkang hanya semata-mata untuk memenuhi peranan anda sebagai pembangkang.

Sememangnya, menjadi tugas utama pembangkang untuk membangkang terhadap segala dasar kerajaan yang disifatkannya menindas, tidak telus dan tidak menguntungkan rakyat.

Tetapi itu tidak bermakna ia memberi “lampu hijau” kepada mereka untuk memporak-perandakan negara.

Pembangkang seharusnya memainkan peranan sebagai barisan politik  yang bertanggungjawab.

Ada ketikanya mereka harus duduk semeja dengan pihak kerajaan untuk menangani isu-isu yang berkait-rapat dengan kepentingan nasional dan bukannya terlalu taksub dengan garisan kepartian yang melampau.

Apa gunanya bertelagah dan bercakaran sesama sendiri hinggakan negara tercinta berpecah? Apakah akan terjadi kepada kestabilan negara ini jika amalan politik yang keterlaluan mendapat tempat dalam masyarakat kita?
 
Justeru, mereka wajar mencontohi parti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat yang berjaya mempamerkan kematangan berpolitik mereka di Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan Senat.

Berpolitik bukan sekadar memberikan janji-janji manis kepada pengundi tetapi juga penekanan kepada aspek pelaksanaan.

Rakyat kini sudah semakin bijak untuk membezakan apa yang disifatkan sebagai janji yang bersifat retorik dan janji sebenar.

Ternyata, segala usaha murni yang dilaksanakan kerajaan mungkin tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah sekurang-kurangnya kerajaan telah memberikan yang terbaik kepada rakyat.


Ruangan Komen