ISTIMEWA



 Nasional   

Demokrasi makin sempit dalam DAP, kata bekas ahli

pada 10-05-2012 07:05 

Post Pic

SHAH ALAM: Seorang bekas pemimpin DAP berkata Naib Pengerusi parti itu Tunku Abdul Aziz menjadi mangsa terbaru pimpinan DAP yang tidak memberi ruang untuk pandangan berbeza.

Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju Wee Chee Keong berkata keputusan DAP tidak melantik semula Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai senator untuk penggal kedua membuktikan parti itu tidak menghormati prinsip demokrasi.

"Tiada ruang untuk pandangan yang bertentangan. Ia sebahagian daripada pengalaman politik. Saya juga dipecat walaupun mempunyai pandangan yang berbeza di kalangan parti," kata beliau ketika dihubungi AntaraPos.com petang tadi.

Justeru Wee berkata beliau tidak terkejut lebih ramai ahli di kalangan parti itu akan menimpa nasib yang sama seperti Tunku Aziz hanya kerana menyuarakan pendapat peribadi.

Malah beliau sendiri telah dipecat DAP pada tahun 1998 atas alasan merosakkan imej parti.

"Ini bukan mendahului parti politik, tetapi ia mendahului agenda-agenda pemimpin tertentu," tambah beliau lagi.

Tunku Aziz sebelum ini menyatakan pendapat beliau bersabit perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung di ibu negara bulan lalu.

Beliau dalam perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara tempoh lalu secara lantang enggan bersetuju dengan cadangan penganjur BERSIH yang ingin membawa suara rakyat ke jalan raya.

Ekoran pandangan itu beliau dikritik oleh kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak senada dengan pendirian gagasan itu.

Semalam beliau mengesahkan bahawa DAP tidak berhasrat menyambung keanggotaan Tunku Aziz sebagai Senator yang akan berakhir pada 30 Mei nanti.

Tunku Abdul Aziz menyertai DAP pada 2008 dan dilantik sebagai Senator pada 2009 bagi kuota kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid  Samad enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai nasib Tunku Aziz.

"Itu kena tanya DAP. Bukan PAS yang calonkan. Bagi kita, Senator datangnya dari DAP dan Pakatan kerana (bilangan) kerusi," katanya ringkas.

 


Ruangan Komen