Array


 Komentar   

Kerajaan wajib guna kuasa halang perhimpunan haram

pada 08-11-2016 12:11 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Degil akan berdepan kedegilan. Jika kumpulan BERSIH 5 berhimpun 19 November ini di ibu kota, Kumpulan Baju Merah juga akan turut turun padang bagi menghalang perhimpunan berkenaan.
 
Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, jika BERSIH 5 ingkar arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya tidak teragak-agak bertindak demikian. 
 
"Kami setuju dengan arahan Timbalan Perdana Menteri kerana Baju Merah adalah kumpulan yang pertahankan sistem demokrasi berperlembagaan.
 
"Namun, jika BERSIH 5 masih meneruskan niat mereka, kami akan turun pada waktu, tarikh dan masa sama," katanya.
 
Meskipun tidak dibenarkan memasuki Dataran Merdeka, perhimpunan  BERSIH 5 nampaknya tetap diteruskan pada 19 November ini. 
 
Pengerusinya,  Maria Chin Abdullah berkata, hasil pertemuannya dengan pihak polis, mereka akan meneruskan perhimpunan BERSIH 5 mengikut perancangan asal.

"Polis tak kata boleh berhimpun atau tidak, tapi kami akan teruskan (berhimpun) seperti diumum sebelum ini.

"Peserta akan mula berkumpul di Dataran Maybank dan Masjid Negara sebelum menuju ke Dataran Merdeka.
 
"Kami tidak akan masuk ke padang di Dataran Merdeka, sebaliknya hanya berada berhampiran kawasan itu," katanya.
 
Pertemuan itu dibuat bagi menyampaikan notis kepada pihak berkuasa sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan mengikut peraturan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
 
BERSIH akur permintaan DBKL
 
BERSIH sebelum ini mengumumkan dua lokasi berkumpul iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.
 
Menurut Maria, larangan dikeluarkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya membabitkan Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.
 
"Justeru kita tidak akan masuk dua kawasan ini bagi  menghormati DBKL," katanya.
 
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak membenarkan penganjur BERSIH 5 dan Baju Merah mengadakan perhimpunan dan mereka berdepan tindakan undang-undang jika ingkar.
 
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu pertembungan di antara kedua-dua kumpulan berlaku.
 
Sementara itu Timbalan Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Razali berkata, beliau berharap peserta perhimpunan akur sepenuhnya arahan kerajaan. 
 
"Rakyat Malaysia yang akan turut serta bersama berhimpun nanti perlu memberi kerjasama sebagai tanda solidariti terhadap lima tuntutan Bersih sebagai mercu tanda ke arah pilihan raya bersih dan adil," katanya.
 
Johor tegas haramkan demonstrasi

Namun yang sudah muktamad ialah, perhimpunan jalanan diharamkan di Johor. Sultan Ibrahim Iskandar mengharamkan sebarang demonstrasi jalanan berhubung situasi politik negara di Johor.

Menurut baginda, demonstrasi berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan mampu menjurus kepada perpecahan kaum di dalam negara.
 
"Kelakuan seperti menghina pemimpin dan individu tertentu dalam demonstrasi adalah begitu tidak bertanggungjawab dan bukan daripada tabiat orang kita.
 
"Jadi ingin saya menegaskan bahawa saya tidak akan membenarkan sebarang aktiviti demonstrasi jalanan diadakan di negeri ini.
 
"Ini adalah kerana demonstrasi seperti itu hanya akan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkam kekecohan di kalangan masyarakat," titah Baginda pada Majlis Himpunan Bangsa Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
 
Sultan Ibrahim juga mahu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Johor tidak membabitkan diri dalam aktiviti berkenaan.
 
"Jika ada sebarang bantahan dan perasaan tidak puas hati adalah lebih elok jika disalurkan ke jalan yang betul iaitu menerusi wakil rakyat atau sebagainya.
 
"Dan jika wakil-wakil rakyat yang telah dipilih gagal membawa suara hati rakyat pilihlah pemimpin yang betul ketika pilihanraya nanti," katanya.
 
BERSIH, Baju Merah tidak berdaftar dengan ROS

Yang pasti ialah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sudah mengesahkan bahawa baik BERSIH mahupun kumpulan Baju Merah tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1996.

 
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memandangkan BERSIH dan Kumpulan Baju Merah tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan, maka aktiviti anjuran mereka adalah haram.
 
"Ini adalah arahan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan penguatkuasaan akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
 
Ahmad Zahid berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengeluarkan surat rasmi tidak mengizinkan kedua-dua kumpulan itu menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan.
 
"Keputusan DBKL adalah muktamad. Oleh yang demikian, keputusan pihak polis adalah selari dengan DBKL dan segala arahan hendaklah dipatuhi sepenuhnya," tegas beliau.
 
Apa jua sensitiviti politik membabitkan perhimpunan ini, ia tetap sah haram di segi undang-undang. Kerajaan kini wajib menggunakan kuasa yang ada agar provokasi pada wibawa demokrasi di negara ini dapat dihentikan. 
 
 



Ruangan Komen