ISTIMEWA



 Nasional   

Isu Hudud: PAS terperangkap dalam PR

pada 11-05-2012 04:05 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

SHAH ALAM: PAS dilihat lebih selesa berdolak-dalik dan enggan mempertahankan perjuangan asas parti itu yang mahukan Hudud dilaksanakan di negara ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman yang diminta mengulas pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bersabit keutamaan memperjuangkan hukum itu menyifatkan PAS semakin terperangkap dalam Pakatan Rakyat.

"Sebabnya apabila Pas bergabung dengan DAP dan PKR, dia sebenarnya telah bersetuju untuk tidak membawa agenda orang-orang Islam melaksanakan syariah dalam konteks negara Islam.

"Jadi apabila Ustaz Hadi mengeluarkan kenyataan itu dan disifatkan seolah-olah atas nama Pakatan Rakyat, maknanya dia seperti telah melanggar perjanjian dari pihak pandangan DAP," kata beliau ketika dihubungi AntaraPos.com.

Hadi semalam menegaskan bahawa Hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sekiranya Pakatan Rakyat menjadi kerajaan.

Sementara bukan Islam akan diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak).

Bagaimanapun jelas beliau, hukum tersebut akan dilaksanakan mengikut proses demokrasi namun berhasrat untuk mengatasi masalah kemiskinan terlebih dahulu termasuk ketetapan gaji minima yang lebih tinggi.

Alasannya agar syarat-syarat perlaksanaan Hudud dipenuhi terlebih dahulu sebelum ianya menjadi undang-undang baru kepada umat Islam di negara ini.

Namun belum sempat gabungan itu berjaya mentadbir negara, rakannya DAP secara konsisten menolak cadangan tersebut sejak dari mula perkara tersebut disuarakan.

Ini menguatkan lagi hujah konflik persefahaman yang wujud di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat apabila Presiden DAP, Karpal Singh menyifatkan Hadi sering berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.

"Jadi PAS pun memang tidak boleh buat Hudud, belum menang PRU pun tidak boleh buat jadi selepas menang pun takkan PAS boleh buat.

"Jadi sekarang ini bagi saya ia sudah menjadi isu untuk hendak 'permintaan' dan sekarang ini PAS hendak tunjuk 'permintaan' dalam pilihanraya untuk menarik semula perhatian masyarakat Islam kepada PAS," ujar beliau lagi.

 


Ruangan Komen