Array


 Komentar   

Demonstrasi BERSIH 5: Siapa yang menang?

pada 20-11-2016 06:11 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Siapakah pemenang dalam demonstrasi jalanan siri BERSIH Sabtu lalu? Bagi penganjur, hakikat tiada porak peranda dan kekecohan yang boleh memudaratkan keselamatan negara berlaku, ia telah mencapai matlamatnya.
 
Namun harganya ialah, peneraju BERSIH 5, Maria Chin Abdullah, “direhatkan” dari acara demokrasi gilang gemilang di bawah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) . 
 
Turut dinafikan peluang beraksi dalam demonstrasi berkenaan ialah pemimpin kumpulan baju merah, Datuk Jamal Yunos. Beliau direman empat hari.
 
BERSIH 5 yang dilonjakkan semangatnya dengan kehadiran mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bangga dengan disiplin penyokong mengelak huru hara. 
 
Bagi mereka yang menang demokrasi. Mereka percaya tuntutan mahu pilihanraya yang adil, telah sampai ke pengetahuan rakyat dan yakin dunia pun sudah maklum keadaan politik di Malaysia. 
 
Namun persoalannya ialah, adakah ini akan mengubah pemikiran dan amalan demokrasi di Malaysia? Atau, dengan perkataan lain, adakah demonstrasi BERSIH 5 berjaya menginsafkan rakyat bahawa amalan demokrasi di Malaysia, buruk? 
 
Jika ya, adakah diyakini bahawa dalam pilihanraya umum akan datang dalam tempoh tidak sampai dua tahun lagi, kerajaan Umno-BN hari ini pasti akan tumbang?
 
Pihak pelabur terjejas?
 
Selaras itu, adakah “kejayaan” BERSIH 5 ini akan membantu melonjakkan pendapatan perdagangan Malaysia? 

Adakah dengan “kejayaan” BERSIH 5, lebih banyak pelabur luar akan datang menanam modal di Malaysia kerani Malaysia dilihat sudah sama taraf penghayatan dan amalan demokrasi dengan negara maju?
 
Namun pada masa sama pergerakan Baju Merah yang bersumpah mahu menggagalkan demonstrasi BERSIH 5 kerana menganggap ia mencalar nama baik negara dan boleh keselamatan negara juga mendakwa usaha mereka berjaya. 
 
Pertama, mereka mendakwa berhasil mengurangkan bilangan peserta BERSIH 5. Kedua, kehadiran mereka juga menggagalkan kemenangan simbolik BERSIH 5 untuk “menawan” Dataran Merdeka.
 
Hadiah yang mereka perolehi ialah pengganti ketua pergerakan Baju Merah, Datuk Armand Azhar Abu Hanifah turut ditahan dalam “perjuangan suci” memelihara maruah negara daripada dicemar BERSIH 5.
 
Tidak kurang mahu perhatian ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikatakan berjaya mengawal dan mengelakkan kedua-dua pihak – BERSIH 5 dan Baju Merah – tidak bertembung dan bertempur. 
 
Polis mengerahkan 7,000 anggota, menutup 58 jalan utama, menahan 21 pemimpin kedua-dua pergerakan dan menangkap 4 orang lagi kerana cuba melakukan provokasi terhadap saingan mereka supaya berlaku kekecohan.
 
Sebenar ketiga-tiga entiti itu memang ada hujah munasabah bagi mengukur kejayaan mereka dalam demonstrasi BERSIH siri kelima ini. 
 
BERSIH calar imej negara
 
BERSIH 5 berjaya menghimpunkah kira-kira 40,000 penyokong bagi meyakinkan rakyat supaya jangan takut menyuarakan hak demokrasi mereka. 
 
Bagaimanapun secara langsung mereka mencalar imej negara; merosakkan aktiviti perniagaan di kawasan perhimpunan dan lebih malang lagi mereka “menakutkan” pelabur asing untuk berdagang dengan aman di Malaysia. 
 
Baju Merah pula mungkin bangga dapat menzahirkan semangat patriotisme. Bagaimanapun tidakkah mereka sedar tindakan itu menimbulkan persepsi Malaysia sudah berpuak-puak dan mengundang keganasan demi politik?
 
Polis yakin campurtangan mereka berjaya menghindar kekecohan. Namun mengapa biarkan negara diselimuti ketegangan sehingga hari demonstrasi?
 
Tidakkah sebagai pihak berkuasa keselamatan polis boleh membenarkan perhimpunan itu berlangsung tetapi di tempat yang tertutup?
 
Jika syarat pengeluaran lesen berhimpun ialah di stadium atau kawasan lapang seperti Padang Merbok, sesiapa sahaja yang mengingkari ketetapan boleh ditahan di bawah akta pencegahan. 
 
Tidak perlu membibitkan rasa ngeri di seluruh negara dan ketakutan persis zaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang kerap digunakan oleh Tun Mahathir suatu masa lalu.
 
Mengapakah diizinkan suasana gertak menggertak dan provokasi berlaku di tempat awam? Polis tahu siapa di belakang gerakan BERSIH -- ahli-ahli politik pembangkang dan ia pula mendapat biaya anasir luar.
 
Itu sudah cukup untuk dijadikan asas bertindak mencegah seperti menahan penganjur yang degil yang hanya mahu mencapai markah dan kemenangan politik. Tidakkah cara ini lebih ringkas, selamat dan munasabah?
 
Tangkap pemimpin cegah mudarat 
 
Penahanan bukan untuk mendera tetapi untuk mencegah mudarat yang lebih besar menimpa negara. Perimbangan di antara menggunakan diplomasi dan ketegasan perlu digunakan oleh pihak berkuasa keselamatan. 

Apapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berada di Lima Peru menghadiri sidang Ekonomi Asia Pasifik tanpa perlu bimbang peserta perhimpunan BERSIH 5 sudah mengambil alih pemerintahan di Putrajaya. 

Akhirnya, kewarasan yang menang. BERSIH 5 bertekad dan berjaya mengelak hasrat mereka menunjuk perasaan terhadap sistem politik negara disalaherti dan mencetuskan sengketa. 
 
Baju merah pula mungkin bangga ia berjaya “mendisiplinkan” BERSIH 5 supaya jangan bertindak memprovokasi seperti memijak gambar pemimpin dan mengejek pemimpin dalam upacara agama.
 
Polis juga bangga dapat melaksanakan strategi mengawal darurat dengan berkesan. 
 
Namun bukankah ada lebih baiknya jika ketiga-tiga pihak bertemu, berbincang dan bersilaturrahim sebelum “tanggungjawab” menganjurkan adegan “pelancongan politik” dilaksanakan dengan meriah dalam semangat saling menghormati?
 
Mungkin kini tiba giliran Menteri Pelancongan, Nazri Aziz tampil membentangkan idea menjadikan demonstrasi aman sebegini sebagai satu agenda “pelancongan politik” di masa depan.
 



Ruangan Komen