ISTIMEWA



 Nasional   

Isu NFC: Rafizi akui lepas pandang Akta BAFIA

pada 14-05-2012 01:05 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

 

PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mengakui bahawa beliau gagal meneliti peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 sebelum membuat pendedahan berkaitan dakwaan penyelewengan dana National Feedlot Corporation (NFC).

Akibat daripada itu, bekas kerani Public Bank Johari Mohamad yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat sulit perbankan NFC akan didakwa di bawah akta tersebut yang akan membawa kepada hukuman penjara lima tahun atau denda RM 5 juta atau kedua-duanya sekali.

"Saya dan Surendren mengaku sebelum ini saya tidak membuat penelitian lanjut tentang Akta BAFIA. Sebab kita hanya mahu dedahkan penyelewengan yang berlaku dalam dana RM 250 juta," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti itu, sebentar tadi.

Johari yang pertama kali tampil pada sidang media PKR berkata beliau menerima surat daripada majikannya pada 24 April lalu berhubung aduan daripada Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail tentang salahlaku pecah amanah kakitangan bank tersebut.

Beliau yang telah menyerahkan surat perletakan jawatan 2 Mei lalu turut diarah untuk melaporkan diri di Bank Negara jam 2 petang ini bagi tujuan siasatan.

"Saya telah melalui proses perbicaraan disiplin di Public Bank dan akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja," kata beliau kepada wartawan.

Sehubungan dengan itu Johari berdepan dengan dakwaan melanggar tatacara dan disiplin tempat kerja di bawah Seksyen 87(2)(b) BAFIA yang dibaca bersama Seksyen 103(1)(a).

Terdahulu, pengurusan tertinggi NFC telah menfailkan aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bersabit tindakan Rafizi mendedahkan butiran akuan dan penarafan kredit NFC dan syarikat berkaitan melalui kakitangan Public Bank itu.

Rafizi juga didakwa telah mendedahkan sebanyak 21 akaun bank kepada media untuk tujuan politik.

 


Ruangan Komen