Array


 Komentar   

Putus tahaluf PAS-PKR, kerajaan Selangor tidak tumbang

pada 12-05-2017 01:05 
Oleh Lokman Ramlee

Post Pic

 
[ULASAN] Tidak berganjak. PAS muktamad tidak mahu lagi menjalin hubungan politik dengan PKR. Seperti mengimani kematian itu benar, PAS yakin tahaluf dengan PKR sudah mati. 
 
Namun cara PAS mendepani isu tahaluf ini tidaklah begitu rumit. Mungkin didorong budaya politik sederhana dan matang, PAS mengunjurkan bahawa tiada krisis politik bakal berlaku.
 
Meskipun Jawatankuasa PAS Pusat pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum menentukan kedudukan exco-exco dan wakil PAS di dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu, banyak ramalan bahawa akan berlaku krisis politik dan pilihanraya negeri jika PAS putus tahaluf dengan PKR, setakat ini jelas meleset. 
 
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sendiri tidak menjangka ada perubahan besar akan berlaku pada kerajaan negeri Selangor sebagai natijah PAS keputusan politik PAS itu. 
 
“Perkembangan terbaru ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat negeri Selangor. 
 
“Kerajaan Negeri Selangor dibawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat,” kata beliau.
 
Tak jejas kedudukan PAS di Selangor
 
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi pula berkata, keputusan Majlis Syura itu tidak memberi kesan kepada penyertaan PAS dalam kerajaan negeri pimpinan PKR 
 
Beliau berkata, keputusan Majlis Syura membawa maksud selepas tamat tempoh kerajaan negeri Selangor sekarang, PAS tidak lagi akan bekerjasama secara politik dengan PKR.
 
"Kita berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa. Jadi, PAS Selangor terima keputusan yang telah dibuat dan akan ikut sebagaimana keputusan yang telah diputus oleh Majlis Syura Ulama.
 
“Kerajaan Selangor akan terus diwakili oleh PAS dalam kerajaan sebab kerajaan ini dibina atas mandat rakyat pada pilihanraya yang lalu," katanya.
 
Beliau berkata keputusan Majlis Syura semalam lebih menjurus kepada pendirian PAS bersabit PKR pada masa akan datang.
 
"Keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama adalah berkaitan dengan tidak akan adanya selepas daripada ini apa-apa perbincangan berkaitan dengan soal pilihan raya, soal penentuan kerusi bertanding dengan PKR, Pakatan Harapan dan lain," katanya.
 
Pendirian yang sama diambil oleh DAP yang turut membentuk kerajaan negeri Selangor buat waktu ini.
 
Exco DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan PAS yang masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri kini.
 
Beliau berkata, tiada keperluan untuk merombak kabinet kerajaan negeri selagi PAS bekerja dalam kerangka manifesto pilihan raya umum ke-13. 
 
"Selagi exco PAS masih bekerja dalam kerangka kerja yang sama dengan Pakatan Harapan, patutnya tiada sebarang masalah. 
 
"Jika mereka memutuskan untuk tidak bergerak selari daripada manifesto kami, ia berlainan. Seperti sekarang, segala-galanya (pentadbiran kerajaan negeri) seperti biasa.
 
"Apabila keadaan berjalan seperti biasa, mengapa kita perlu mengubahnya?" katanya.
 
Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan itu berkata, dengan pilihan raya umum boleh diadakan bila-bila masa, rombakan kabinet negeri bukanlah satu keperluan.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan mandat di Selangor akan diteruskan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang demi mengekalkan komposisi pentadbiran negeri itu.
 
Yang menjadi tali pengikat badan exco Selangor dari PKR, DAP dan PAS ialah prinsip asal Pakatan Rakyat yang memenangi hati rakyat Selangor dalam PRU lalu masih tetap sama dan tidak terlerai. 
 
Justeru itu kombinasi yang sama akan terus berkhidmat sehingga pilihanraya umum ke-14 yang dijangka boleh berlaku bila-bila sebelum pertengahan 2018.
 
Yang kecewa dengan perkembangan ini tentunya Parti Amanah Negara yang tidak letih menyindir dan meremehkan pendirian PAS mahu putus tahaluf dengan semua komponen Pakatan Harapan, tetapi tidak mahu melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri Selangor.
 
Malah Amanah tidak segan silu menawarkan diri mengisi tempat PAS dalam kerajaan negeri sambil timbalan presidennya, Salahuddin Ayub, memperli PAS masih “terhegeh-hegeh” mahu berada dalam kerajaan negeri walaupun sudah tiada tahaluf dengan PKR dan DAP.
 



Ruangan Komen