Array


 Komentar   

Exco PAS: Mengapa Azmin tidak bersikap budiman?

pada 15-05-2017 02:05 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Ada dua pihak yang boleh menjernihkan keadaan politik Selangor hari ini. Pertama, Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali. Jika beliau berkata ia atau tidak, kemelut ini boleh difahami dan dikupas dengan mudah dan jelas.

Beliau cuma perlu mengaku memang ada mengarahkan ketiga-tiga exco PAS supaya meletakkan jawatan dan semua pihak berkepentingan boleh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
 
Azmin harus bersikap budiman dan memberitahu bila beliau mahu menghadap Sultan Selangor memohon pelantikan tiga exco baru atau membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi mengizinkan pilihanraya negeri diadakan.
 
Selepas pertemuan dengan tiga exco PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi Jumaat lalu, Azmin memberitahu media perbincangan berkisar keputusan Majlis Syura PAS memutuskan tahaluf dengan PKR.
 
Langsung tiada disebut tentang peletakan jawatan exco. Semua akhbar melaporkan demikian kecuali sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan pada 13 Mei 2017, bahawa Azmin mengarahkan exco PAS letak jawatan.
 
Akhbar berkenaan begitu yakin terhadap sumber beritanya dan meletakkan logo eksklusif pada berita di halaman hadapannya. Semua pemerhati politik terkedu. Begitu nekad kah Azmin?

Masalahnya, hingga kini Azmin tidak mengesah atau menafikan berita berkenaan. Mungkinkah ada pihak sengaja “menyalurkan maklumat” pada akhbar berkenaan supaya melaporkan bahan “eksklusif” itu?

Lebih penting lagi, adakah “penyeludupan maklumat” itu dilakukan dengan pengetahuan Azmin sendiri?
 
Pihak kedua yang boleh menjernihkan isu ini ialah keempat-empat pemimpin PAS yang menghadiri perbincangan sejam dengan Azmin itu. Namun yang pasti, mereka sudahpun menafikan Azmin tiada mengeluarkan arahan itu.
 
Sallehen berkata, beliau tidak pasti kesahihan maklumat Azmin mahu Exco PAS Selangor melepaskan jawatan masing-masing dalam Kerajaan Negeri. 
 
"Ia tidak dibincangkan dalam pertemuan kami semalam (Jumaat). Saya tidak pasti dengan maklumat ini kerana saya tidak mendengarnya daripada Mohamed Azmin sendiri," kata Sallehen.
 
Penafian ini dikukuhkan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
 
"Mesej beliau (Azmin) yang terkini, beliau kata akan letak Exco PAS dalam Kabinetnya. Saya ambil yang terkinilah. Sebab itu saya pun terkejut apabila keluar dalam akhbar tu. Siapa yang mencipta cerita ini?" katanya.
 
Seorang lagi Exco Selangor Datuk Iskandar Abd Samad menafikan Azmin ada mengeluarkan arahan demikian. 
 
"Saya tidak menerima apa-apa arahan. Saya tidak tahu apa-apa mengenai laporan media bahawa Azmin mahukan saya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib letak jawatan sebagai Exco" kata Iskandar.
 
Malah, beliau menganggap pertemuan dengan Azmin itu 'sangat baik'.
 
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mat Shuhaimi Shafiei pula tegas berkata “ia tidak benar”. 
 
"Kenyataan kita sama seperti semalam. Macam mana akhbar itu boleh laporkan berita itu?" katanya.
 
Ini bermakna dari kem PAS, arahan itu tidak wujud dan ia menimbulkan pelbagai spekulasi siapa dan apa tujuan berita itu disebarkan. 
 
Cara penyelesaiannya mudah. Azmin kena tulus, telus dan berani --  sahkan betul atau tidak beliau mengeluarkan arahan berhenti itu?
 
Memang ramai dalam PKR mahu Azmin bertindak demikian. Malah ketika cadangan memutuskan tahaluf dengan PKR dibincang dalam muktamar PAS bulan lalu, sudah ada pemimpin PKR mahu exco PAS letak jawatan. 
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Saifuddin Nasution berkata, Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat ini pernah mengeluarkan kenyataan meminta ahli-ahli exco dari parti Semangat 46 meletak jawatan dalam kerajaan Kelantan selepas memutuskan hubungan dengan PAS pada tahun 1996 berbunyi:
 
"Tindakan mereka (yang mengekalkan jawatan exco) adalah tidak bermoral dan tidak bermaruah kerana mereka telah memutuskan hubungan politik dengan PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah" 
  
Angkatan Perpaduan Ummah adalah gabungan di antara PAS dan parti serpihan Umno, Semangat 46 yang membantu PAS menawan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1990 dan 1995.
 
Di samping itu ada juga bekas exco Selangor yang menyindir PAS tidak budiman (gentleman) jika tidak letak jawatan seolah membayangkan betapa ADUN PKR berkenaan mahu “menempah” kerusi exco jika ada kekosongan
 
Kerabat PKR, parti DAP pun mahu exco PAS letak jawatan. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bingkas menyokong laporan akhbar kononnya Azmin sudahpun mengarahkan exco PAS berbuat demikian.
 
Sementara satu lagi kerabat Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara dalam jelas tidak mampu “menudung nafsunya” mahu mengambil alih tempat PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
Selain mengumumkan kesediaan menggantikan tempat PAS ia juga menempelak PAS masih “masih terhegeh-hegeh” mahu mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri. 
 
Ini hanya memberi “tekanan” pada Azmin membuat keputusan berhubung isu berkenaan. Namun mengapa Azmin berlengah menjernihkan keadaan? 
 
Benarkah beliau mahu merujuk perkara ini pada Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu berada di luar negara? Bukankah sejak hari pertama isu ini bangkit, Wan Azizah menyatakan pendirian PKR ialah ia mahu komposisi kerajaan Selangor dikekalkan? 
 
Mudah sangatkah Azmin dan pemimpin PKR bertukar pendirian dalam isu-isu sensitif seperti ini? Atau, adakah pihak lain dalam PKR melihat ini kesempatan untuk “mencemar” kepimpinan Azmin dengan menyebarkan maklumat ini?
 
Memang Azmin mengaku beliau kecewa dengan keputusan Majlis Syura PAS, namun wajarkah membiarkan isu ini “tergantung” dan pasti mengundang lebih banyak spekulasi?


Tags : Exco PAS Azmin


Ruangan Komen