Array


 Nasional   

PAS perlu jadi parti berprinsip - MT Umno [TONTON VIDEO]

pada 16-05-2017 11:05 
Oleh Ainor Rahim

Post Pic

 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Sohaimi Shahadan mencabar kesemua wakil rakyat PAS supaya keluar daripada kerajaan negeri Selangor susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu menamatkan kerjasama politik dengan PKR, Khamis lalu.
 
Sohaimi menegaskan exco parti berkenaan perlu berbuat demikian supaya selari dengan prinsip yang telah diputuskan kepimpinan tertinggi PAS.
 
"Kalau dah buat keputusan, PAS harus berani untuk keluar dari negeri Selangor ini. Keluar dalam bentuk mengikut apa yang diputuskan oleh ahli dalam muktamar dan juga Dewan Ulama PAS. Mereka harus berani untuk mengambil pendirian tunjuk jadi anak jantan dan ikut prinsip parti. 
 
"Jadi saya nak cabarlah kalau PAS sebagai sebuah parti yang ada integriti dan juga wakil-wakil rakyatnya itu yang benar-benar mengikut keputusan ahli diakar umbi yang menyahut, patut semua sekali keluar dari Selangor sekarang," katanya ketika ditemubual Antarapos baru-baru ini.
 
Sohaimi turut mempertikai bagaimana tiga Exco berkenaan boleh kekal, sedangkan hakikatnya mereka sudah 'bercerai'
 
Malah beliau turut mengibaratkan hubungan PAS-PKR di Selangor seperti 'tidur sebantal mimpi lain-lain'.
 
"Bila kita putuskan dia tidak bersama, macam orang sudah proses perceraian dia tidak boleh sebumbung tentu perlu berpisah. Mana mungkin kita nak bercerai tetapi menjalani kehidupan suami isteri.
 
"Ini yang rakyat tertunggu-tunggu apa sebenarnya yang PAS cuba lakukan. Dalam keadaan tidak bersama tidak boleh lagi sehaluan tetapi boleh lagi dalam kerajaan yang bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya.  
 
Khamis lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan tahalauf siyasinya dengan PKR serta merta secara rasmi namun akan membincangkan semula bagi konteks negeri Selangor.
 
Seorang lagi Ahli MT Umno, Tan Sri Noh Omar turut menyifatkan tindakan Azmin yang dilihat teragak-agak memecat tiga exco PAS susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, membuktikan pemimpin itu 'bermain wayang' politik dalam mentadbir kerajaan.
 
Kedua-dua parti itu mula tidak sehaluan ekoran tindakan PKR yang tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama, dengan berada sepentas bersama sekutu politik PAS, iaitu DAP dan Amanah, dan menyerang kepimpinan parti itu.
 
Walaubagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan tiga Exco PAS Selangor tidak akan meletak jawatan, selagi tiada arahan sebegitu daripada Sultan Selangor. 
 
Tambahnya, jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan kedudukan tiga Exco parti itu di Selangor. 
 
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution memaklumkan kedudukan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik mereka malam esok.
 
Tiga exco berkenaan ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidi Abdul Talib.
 
 


Tags : PAS berprinsip MT Umno


Ruangan Komen