Array


 Nasional   

Azmin dakwa ada pihak cuba jatuhkan Selangor [TONTON VIDEO]

pada 20-05-2017 01:05 
Oleh Shuhaniza Said dan Zeanaaima Md Yusof

Post Pic

 
PETALING JAYA: Menteri Besar , Datuk Seri Azmin Ali mendakwa ada pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinannya kerana cemburu dengan pencapaian dan kestabilan Selangor.  
 
Tanpa menamakan pihak berkenaan secara spesifik, Azmin menyifatkan golongan berkenaan sebagai pengkhianat amanah rakyat yang akan ditentang habis-habisan.
 
"Semenjak akhir-akhir ni ada individu dan kumpulan kembiri politik yang dengki dan cemburu dengan kejayaan Selangor dan cuba melemahkan pencapaian kestabilan negeri.
 
"Mereka melempar fitnah, dikutip oleh media, mencipta polemik dan provokasi.
 
"Saya mengajak perwakilan, kita persetankan kembiri politik ini. AMK  dan Wanita Keadilan mesti bersama mempertahankan kubu kita.
 
"Ingat, mereka berdepan dengan Azmin Ali dan Keadilan. Mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang cuba gugat kestabilan Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat. Mereka adalah musuh kita dan kita akan lawan habis-habisan. Lawan tetap lawan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres Nasional AMK dan Wanita Keadilan, di Dewan Sivik MBPJ, malam tadi.
 
Dalam pada itu, kata Azmin, krisis yang melanda kerajaan Selangor pimpinan PKR mutakhir ini tidak akan membuatkan parti itu tunduk kepada pihak lawan. 
 
"Krisis tak semestinya masalah tapi krisis adalah peluang Keadilan untuk muncul sebagai pemimpin masa depan.. namun dalam masa sama Keadilan tak akan benarkan mana-mana pihak sama ada parti politik atau individu untuk memeras ugut parti kita.
 
"Kita akan lawan mereka habis-habisan," katanya.
 
Azmin yang diasak dalam sidang media untuk menjelaskan pihak yang didakwanya cuba 'memeras ugut' parti itu bagaimanapun enggan berbuat demikan.
 
Ketika ditanya apakah beliau memaksudkan PAS atau bekas ahli PKR, Azmin hanya menjelaskan bahawa beliau memberi jaminan bahawa Selangor tetap stabil dengan mandat yang telah diberi oleh rakyat.
 
Sementara itu Azmin berkata, sememangnya wujud perbezaan pendapat di kalangan setiap parti yang menganggotai gabungan pembangkang, namun ia bukan alasan untuk mencipta persengketaan. 
 
"Sementata kita akui wujud pandangan dan pendekatan berbeza, namun ia tak bermaksud kita harus sengketa dan meruntuhkan kekuatan yang kita bina melalui muafakat politik.
 
"Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat kini Pakatan Harapan. Bersama kita memperkukuhkan Pakatan Harapan. 
 
"DAP rakan setia untuk bawa perubahan, Amanah dan Bersatu (PPBM) teman seperjuangan, ayuh kita melangkah dengan keyakinan,  mara dengan harapan, kita lawan dengan sasaran, rakyat menang negara aman," ucapnya.
 
PKR kini menganggotai Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah selepas gabungan Pakatan Rakyat yang pada masa itu turut dianggotai PAS, diisytiharkan berkubur.
 
Gabungan baru itu kemudian disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) teraju Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu.
 
Walaupun Pakatan Rakyat terkubur, PKR masih memeruskan tahaluf siyasi dengan PAS dalam konteks kerajaan negeri Selangor.
 
Bagaimanapun hubungan kedua parti itu berakhir selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan memutuskan tahaluf antara mereka pada minggu lalu, kerana mendakwa PKR melanggar syarat tahaluf.
 
Perkembangan itu menyaksikan Selangor berada di dalam krisis pentadbiran, dengan kedudukan wakil rakyat PAS  menjadi tanda tanya. 
 
 


Tags : Azmin jatuhkan Selangor


Ruangan Komen