Array


 Komentar   

Misi pujuk PAS: PKR keliru, pembangkang celaru

pada 26-01-2017 07:01 
Oleh Lokman Ramlee

Post Pic

[ULASAN] Adalah agak jelas PKR keliru berhubung usaha membangun sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk mencabar Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14.

Pendirian pemimpin-pemimpin PKR kelihatan bercelaru terutama dalam isu meneruskan atau mengubah pendirian terhadap tahaluf siyasinya dengan PAS. 
 
Pada satu sisi, Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar berkata, terserah pada PAS ingin menilai semula kerjasama dengan PKR tetapi PKR tetap ingin meneruskannya. 
 
Beliau berkata, PKR tiada masalah bekerjasama dengan PAS setakat ini dan hubungan itu berterusan khususnya dalam konteks kerajaan negeri Selangor.  
 
"Dia (PAS) mahu menilai atau tidak, itu perkara nombor dua. Kita sekarang bekerjasama dengan PAS, dan kita akan teruskan.
 
"Kita ada perhubungan dengan PAS, kita bercakap dengan PAS tiap-tiap minggu menerusi mesyuarat Exco. Kita ada exco PAS dalam kerajaan, tiada masalah," katanya.
 
ADUN Sri Andalas itu berharap, usaha Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghulur salam perdamaian kepada PAS sebagai petanda positif bagi pembangkang.
 
Malah seorang lagi Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin juga menaruh harapan PAS menyambut baik salam perdamaian DAP.
 
Beliau berkata, inisiatif DAP itu adalah bagi mengelak pertembungan lebih dua penjurumenentang Barisan Nasional (BN). 
 
DAP memaklumkan kesediaan rujuk kembali bekerjasama dengan PAS demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi contoh kleptokrasi dunia.
 
Azmin sindir PAS 
 
Malangnya, pendirian dua Naib Presiden PKR itu dicemari komen Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang sinis terhadap pendirian PAS yang dianggapnya mahu mendominasi pembangkang. 
 
Beliau menyifatkan kepimpinan PAS sebagai 'kuku besi' kerana hanya mahu bekerjasama dengan pihak yang sedia mengikut telunjuk parti itu.
 
Azmin Ali berkata, syarat yang dikenakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya pembangkang meneladani pengalaman PAS menentang BN, sebagai satu proses demokrasi yang tidak sihat.
 
"Kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," katanya.
 
Komen Azmin itu dilihat bakal mengeruhkan lagi hubungan tahaluf siyasi di antara PKR dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini mendesakpimpinan parti itu mengkaji semula hubungan dengan PKR yang diasaskan pada PRU 2008.
 
Pendirian Azmin itu pula dilihat mirip pemikiran politik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad yang mendesak PAS segera menentukan mahu atau tidak bekerjasama dengan pembangkang lain.
 
Desakan Mahathir ini membuat pimpinan PAS berasa tercabar dan mengambil pendirian ‘PAS tidak memerlukan pemimpin angkuh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad’.
 
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, veteran politik itu mungkin diperlukan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan survival politik mereka, tetapi tidak PAS.   
 
Malah ujar Nasrudin, sasaran utama Dr Mahathir sebenarnya bukan untuk mengalahkan Umno, sebaliknya menyasarkan PAS yang didendamnya kerana ‘enggan turut kemahuannya’.
 
Amanah keruhkan keadaan
 
Ketika PKR agak bercelaru dalam isu ini, parti Amanah pula mengeruhkan keadaan dan ini mungkin mendorong PAS semakin menjarakkan diri daripembangkang. 
 
Amanah menuduh Blok Ketiga yang dibarisi PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), sebagai proksi Barisan Nasional (BN).
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa Blok Ketiga itu adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.
 
"Amanah dan parti rakan dalam HARAPAN (Pakatan Harapan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan Blok Ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN," katanya.
 
PAS masih enggan memberi kata putus sama ada mahu bersama Pakatan Harapan (PH) dan PPBM atau Umno-BN, pada menuju PRU14. 
 
PAS bertegas tidak akan menjalin hubungan politik dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah. Ia juga menepis dakwaan ada hubungan dengan BN.
 
PKR terus bercelaru dalam isu ini. Ketika ia mempergiatkan usaha memujuk PAS bekerjasama, kerabatnya Amanah dan PPBM terusnya menyerang PAS.
 
Semakin keliru PKR dan semakin haru pakatan pembangkang. Amanah dan PPBM nampaknya bertekad mengambil tindakan sendiri menyerang PAS, tidak kira PKR setuju atau tidak. 
 
Kini PKR nampaknya hanya boleh berharap langkah damai DAP berjaya “membuka hati” PAS bekerjasama kembali dengan parti yang memang terbukti tidak boleh menerima perjuangan Islamnya.
 


Tags : PAS PKR


Ruangan Komen