ISTIMEWA



 Komentar   

Angkara munafik, perpecahan Islam makin parah

pada 27-05-2012 11:05 

Post Pic

ULASAN SHAH ALAM: Setiap kali ada riak politik bahawa usaha untuk menjambatani perbezaan Umno dan PAS akan berlaku, umat Islam-Melayu akan teruja.

Kajian rawak pasti menunjukkan lebih ramai yang bersikap positif mahu ia segera jadi realiti.

Naluri ini memang semulajadi dalam diri Melayu-Islam yang akil baligh pemikiran politiknya. Mereka sentiasa condong kepada perdamaian dan kerukunan.

Soal implikasi politik, sosial dan spiritual perhubungan Umno-PAS ini memang dekat di hati Melayu dan pemimpinnya.

Malah, adalah agak selamat dikatakan dalam hati kecil pemimpin PAS dan Umno memang sentiasa menyimpan harapan ada sesuatu yang bermanfaat terjalin di antara kedua-dua parti itu.

Yang pasti masing-masing pihak yakin perbezaan mereka tidak muktamad. Mustahil mereka akan bersaing dan bersengketa sepanjang hayat.

Jika demikian tekad dalam sanubari pemimpin PAS dan Umno, sudah tentu mereka sendiri tahu apa akibatnya – kesejahteraan dan hayat politik  Islam-Melayu akan bertambah singkat.

Meskipun dalam permainan politik mereka harus merendahkan sumbangan seteru masing-masing kepada agama dan bangsa namun dalam hati kecil mereka pasti akur bahawa bukan semua tingkah politik mereka sempurna.

Yang kurang bagi kebanyakan mereka ialah keikhlasan untuk mengakui kekurangan; baik pada aspek peribadi mahupun parti. Jika mereka berfikiran sebaliknya, sudah tentu juga mereka akan mengakui (dalam hati) akan kemunafikan diri sendiri.

“Dalam Islam, setiap perkara yang kita buat mesti ikhlas. Apa yang dibuat dengan tidak ikhlas, boleh dianggap munafik,” kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sebagai pemimpin Islam, beliau kena ikhlas. Itulah yang dilakukannya walaupun terpaksa bersilang pandangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang. Soal perpaduan dan kesejahteraan umat tidak boleh dipolitikkan. Jika tidak, ia boleh dianggap munafik.

Lantaran itu mursyidul am itu tetap mahu muzakarah di antara PAS dan Umno diadakan kerana “kini adalah masa yang sesuai”.

Beliau menegaskan pertemuan dengan pemimpin Umno bukan bermakna PAS mahu bergabung  dengan Umno tetapi sebaliknya membincangkan hal berkaitan dengan umat Islam. Itupun adalah satu nikmat bagi umat.

“Muzakarah ini keluar daripada presiden (Haji Hadi) kalau dia tak setuju kepada saya tidak apa. Ini keputusan saya dan ia tidak ada kena mengena dengan orang lain. Jadi saya tidak kira jika ada pihak yang tidak bersetuju.

“Apapun pendapat mereka biarlah merreka yang buat keputusan  dan saya tetap dengan pendirian saya untuk mengadakan perbincangan bersama mereka(Umno),” katanya di Kota Bharu, Rabu lalu.

Namun yang menggusarkan ialah, riak muzakarah kali ini akan terbantut sebelum ia diberikan pertimbangan saksama. Ini kerana presiden Pas sendiri berpaling hati daripada keinginan untuk bermuzakarah dengan Umno.

Minggu lalu beliau dirakamkan sebagai berkata: “"Perkataan muzakarah yang disebut pada masa itu, muzakarah dalam bahasa Arab ialah perbincangan (iaitu) penjelasan kepada NGO-NGO tetapi telah disalahtafsirkan PAS ingin muzakarah dengan Umno. Tak timbul dengan Umno," ujar beliau selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS minggu lalu.

Hadi merujuk kepada kenyataan beliau yang didakwanya telah disalahtafsirkan. Katanya, laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian pada 14 Mei lalu bahawa  parti itu bersedia bermuzakarah dengan Umno adalah tidak betul.

Walhal semakan rakaman kenyataan pada 14 Mei lalu berbunyi begini: "PAS bersedia bermuzakarah dengan semua pihak dan pejabat PAS terbuka kepada semua NGO Islam datang ke sini dan bermuzakarah dengan kita termasuk UMNO sendiri."

Yang nyatanya keadaan sudah agak terbalik dalam PAS. Satu ketika dahulu Nik Azizlah yang paling lantang tidak mahu berbincang dengan Umno. Seikhlasnya, beliau tahu dan dapat menghidu perangkap politik Umno. Beliau sudah serik dengan gelagat Umno yang mengusir PAS keluar dari Barisan Nasional.

Sebaliknya, Hadi pula yang bersikap agak lembut dan tidak terus menolak kemungkinan perbincangan diadakan Umno. Apa yang membuat Hadi berpatah arah di antara 14 Mei hingga pertengahan minggu lalu?

 

Dan, sejak bila pula Nik Aziz menganggap sebarang tindakan, (yang dalam hal ini termasuk politik) jika tidak dilakukan dengan ikhlas boleh dianggap munafik?
 
Ketaksuban pengikut kedua-dua belah pihak – Umno dan PAS – makin tirus. Namun ruang orang Melayu yang berada di atas bendul politik semakin melebar. Umno dan PAS harus menjadi pemimpin umat Melayu-Islam dan bukan semakin mengelirukan mereka. 
 
Malangnya, sekali lagi PAS menukar haluan. Walaupun bernada tegas Rabu lalu mahu meneruskan muzakarah dengan Umno, Mursyidul Am Pas juga berubah fikiran. Mungkin bagi Nik Aziz “mengikut imam” adalah tindakan politik lebih ikhlas dan akan terhindar daripada ciri-ciri munafik. Wallahu ‘alam.
 

Ruangan Komen