Array


 Komentar   

Mahathir orak langkah kuasai Pakatan Harapan

pada 15-03-2017 01:03 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] DAP perlu konsisten dengan pendiriannya mahu presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi Perdana Menteri jika pihak pembangkang berhasil merampas kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Begitu juga dengan PKR. Ia perlu bekerja keras meletakkan presidennya di kerusi nombor satu pentabiran negara sehingga Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap “disertu” untuk mengambil alih jawatan berkenaan. 
 
Jika masing-masing beranjak dari ketetapan awal itu, padahnya ialah anggota baru pakatan itu, PPBM akan merampas peluang untuk menjadi peneraju pakatan itu. 
 
PH kini memasuki peringkat genting dan paling menguji dan menguja dalam pemuafakatan mereka mahu menjadi pemerintah di Malaysia.
 
DAP, PKR dan Amanah akan diuji betapa murni sebenarnya hasrat mereka mahu memenangi amanah rakyat untuk berkuasa mentadbir negara.
 
Memandangkan skim pemuafakatan di antara mereka masih terlalu rapuh, dalam sekelip mata perimbangan kuasa dan pengaruh di antara ketiga-tiga parti boleh berubah.
 
Ditokok pula dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa ia akan menganggotai pakatan itu, banyak model perimbangan kuasa baru akan berlaku hingga menguji kesetiaan dan menguja nafsu politik masing-masing.  
 
Parti Amanah Negara (Amanah) misalnya, akan tahu bagaimana tiga rakan kongsinya menilai fungsinya dalam pakatan itu. Adat politik, jika keanggotaannya tidak berbaloi, ia akan ditendang keluar atau dibiarkan hidup lara. 
 
Oleh itu Amanah perlu bersiap siaga menghadapi kekecewaan besar kerana kehadirannya dalam politik Malaysia mungkin sebenarnya tidak dihargai.
 
Kegalauan ini mungkin berlaku jika ketiga-tiga parti pengasas PH ini leka dan culas berfikir jauh betapa PPBM sudah mula menyerlahkan taring politik yang akan memerangkap mereka.

PPBM mahu nama, logo Pakatan Harapan diubah
 
Tun Mahathir Mohamad kini mahu nama PH itu diubah jika mahu PPBM bergabung dengannya. Ini adalah satu penilaian diri atau ego yang besar.
 
Mahathir berkata, secara dasarnya PPBM bersetuju selain nama pakatan baru, mereka ingin satu logo dan manifesto sahaja digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.
  
PPBM sebelum ini hanya mengikat kerjasama politik bersama gabungan itu dengan matlamat meletakkan satu calon mewakili pakatan itu untuk sesuatu kawasan pilihan raya.
 
Setelah menyelami kekuatan setiap anggota penaja Pakatan Rakyat sejak beberapa bulan lalu, Mahathir kini maklum dan dapat mencongak kelebihan serta kelemahan setiap ahli PH.
 

Mahathir sedar cuma DAP ada kekuatan sendiri. DAP mampu meraih sokongan majoriti pengundi bukan Melayu/Islam. Hakikat ini tidak boleh disangkal PKR mahupun Amanah.
 
Beliau maklum bahawa DAP amat memerlukan sokongan parti Melayu seperti PKR, dan/atau Amanah serta PPBM sendiri.
 
Lantas jika Mahathir dapat menyatukan PPBM, PKR dan Amanah serta menggembleng mereka supaya tidak menyokong DAP, parti dominasi Cina itu akan tinggal sebagai parti bukan Melayu terbesar sahaja yang mungkin kempunan nikmat memerintah Malaysia.
 
Dalam keadaan ini pilihan yang tinggal bagi DAP ialah berkongsi pemerintahan Malaysia bersama PPBM atau PAS sahaja. 
 
Sebelum ini Mahathir menonton dengan penuh minat perbalahan ideologi di antara PAS dan DAP. Kini Mahathir yakin kedua-dua parti itu tidak akan boleh bekerjasama.

Tanpa PAS, DAP tiada pilihan selain merapati PKR. Namun Mahathir membaca itu akan merumitkan kepentingan beliau dan PPBM kerana ketua de facto PKR masih Anwar Ibrahim.
 
Mahathir terus sedar ancaman Anwar padanya
 
Mahathir terlalu kenal siapa itu Anwar. Anwar licik. Sebab itu, di peringkat mula kemunculannya di platform pembangkang, Anwar bingkas memberi amaran kepada anak-anak buahnya jangan terlalu mendekati Mahathir.
 
Bagaimanapun Mahathir pantas membaca strategi  Anwar. Beliau tahu Anwar pasti ada rancangan “mengenakannya” dalam percaturan politik. 
 
Apabila melihat Anwar sanggup menurunkan tandatangannya pada perisytiharan ‘boleh bekerjasama dengannya’ hanya beberapa minggu selepas memberi amaran pada PKR jangan merapati beliau, Mahathir dapat merumuskan “ada isu yang belum selesai di antara mereka”. 
 
Lakonan Anwar dirungkainya. DAP dan PKR perlu direnggangkan. Mahathir juga insaf DAP sendiri sebenarnya menunggu peluang mengambil alih kedudukan PKR sebagai peneraju blok pembangkang. 
 
Sebab itu, bila timbul isu siapa patut jadi perdana menteri, DAP menamakan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan itu sementara menunggu isu imej ke atas kelayakan moral Anwar menjadi perdana menteri dilangsaikan.
 
Namun bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Ibrahim mendedahkan bahawa Mahathir dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang ada pakatan sulit mahu menobatkan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri. 
 
DAP paling gembira. Ia tahu jika parti-parti Melayu-Islam terus bercakaran, undi Melayu pecah dan kuasa mereka berbelah bahagi dan tiada parti pembangkang Melayu yang mampu meraih kerusi lebih banyak daripadanya. 
 
Ketika itu, DAP mungkin menjadi parti pembangkang paling banyak kerusi Parlimen dan parti-parti Melayu akan beratur panjang mahu DAP memilih mereka menjadi kerabatnya DAP sebagai parti pemerintah.
 
Mahathir pula mungkin berkira dalam keadaan itu PKR dan Amanah sudah merosot menjadi parti tempelan sahaja. Yang tinggal ialah sama ada Umno, PAS atau PPBM.
 
Umno tidak mungkin mahu berkongsi kuasa dengan DAP. Begitu juga PAS. Maka yang tinggal hanya PPBM. Memahami kedudukan Melayu/Islam di bawah Perlembagaan Negara, PPBM akan muncul paling layak memimpin kerajaan baru. 
 

Tags : Mahathir Pakatan Harapan


Ruangan Komen