ISTIMEWA



 Nasional   

Tuan Ibrahim harap 'tuah' kali keempat

pada 31-05-2012 04:05 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap percubaan kali keempat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan membuahkan hasil selepas kali terakhir digelar wakil rakyat 13 tahun lalu.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat pernah menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jengka pada 1999 dengan menewaskan calon Umno Datuk Zainal Hassan dengan majoriti 319 undi.

Ketika dihubungi AntaraPos.com, Tuan Ibrahim berkata beliau akan bertanding pada PRU13 namun menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi.

"Nama saya disenaraikan (dalam senarai nama calon), insya-Allah saya akan bertanding. Kawasan mana itu belum diputuskan lagi tapi itu saya serahkan kepada PAS Pusat.

"Kecenderungan saya di negeri dan saya juga masih meneliti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang saya rasakan sesuai," katanya.

Tuan Ibrahim mula menyertai pilihan raya umum pada 1999 dan bertanding di DUN Jengka, selain memperoleh kemenangan.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2004.

Pada pilihan raya umum 2008, Tuan Ibrahim masih gagal menawan kembali kerusi DUN Jengka, namun berjaya merapatkan jurang majoriti kepada hanya 596 undi.

Justeru beliau berharap penyertaan pada PRU13 akan memberikan sinar baru selepas gagal dua kali sebelum ini.

"Saya harap kali ini lebih baik daripada dulu dengan perubahan mood di Pahang dan seluruh negara secara keseluruhnya," katanya.

60 peratus calon di Pahang orang muda

Mengulas mengenai senarai calon PAS Pahang, Tuan Ibrahim berkata hampir 60 peratus merupakan orang muda dan muka baru.

Beliau turut berkata Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan bakal bertanding di negeri yang diterajui Datuk Seri Adnan Yaakob itu.

"Di Pahang beliau (Nasruddin) dicalonkan di dua tiga kawasan, insya-Allah beliau akan bertanding kali ini. Beliau menerima pencalonan di Parlimen dan juga DUN.

PAS Pahang mahu bincang kerusi 'pinjam'

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata PAS Pahang berminat untuk mendapatkan semula kerusi yang "dipinjamkan" kepada parti komponen Pakatan Rakyat (PR) termasuk kerusi Parlimen Temerloh dan Pekan.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat meletakkan calon PKR di kedua-dua kerusi itu namun tewas.

Kerusi Parlimen Temerloh kini dipegang Datuk Saifuddin Abdullah sementara kerusi Pekan disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Tuan Ibrahim, selain kerusi Parlimen, PAS Pahang turut mensasarkan kerusi DUN.

"Ada beberapa kerusi yang kita pinjamkan sebelum ini dan kita berhasrat untuk ambil semula kerusi yang kita rasakan sesuai.

"Perkara ini masih belum dibincangkan lagi, di Parlimen Temerloh kita harap PAS akan bertanding," katanya.


Ruangan Komen