Array


 Komentar   

Mengapa pendirian Muhyiddin tidak konsisten?

pada 18-03-2017 11:03 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] PAS kelihatan tidak terlalu kecewa apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhirnya memilih menyertai Pakatan Harapan (PH). Malah ia segera mengisytiharkan PPBM dan PAS pasti tidak boleh bekerjasama. 
 
Pendirian itu cukup istiqamah. PAS berulang kali menegaskan ia tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang bergabung dengan Amanah yang dianggap menganiayai perjuangannya dan DAP yang menentang perjuangan Islamnya. 
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika itu keputusan rasmi PPBM, PAS menganggap ia tidak ada hubungan lagi dengan parti itu.
 
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad awal minggu ini mengesahkan partinya akan menyertai PH. Mohd Amar berkata, PAS menghormati pendirian PPBM menyertai PH kerana “semua pihak boleh membuat keputusan sendiri.”
 
“Kita ada pendirian kita dan orang lain juga ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa ikut kita,” tambahnya.
 
Namun persoalan yang mungkin masih berlegar di benak pemerhati politik ialah apakah sebenarnya pendirian Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam percaturan mengukuhkan barisan pembangkang ini?

Muhyiddin amat berharap PPBM jalinkan hubungan dengan PAS

Muhyiddin dilihat bersungguh mahu PPBM bekerjasama dengan PAS. Malah beliau menyeru setiap parti pembangkang seharusnya bersedia bertolak ansur demi mewujudkan perpaduan yang utuh.
 
Beliau mengepalai PPBM dalam rundingan dengan PAS yang dipimpin oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man demi menjadikan kerjasama di antara kedua-dua parti menjadi realiti.
 
Berdasarkan kenyataan-kenyataan media Muhyiddin dan Tuan Ibrahim sebelum ini, kesepaduan PPBM dan PAS tidak mustahil dicapai meskipun Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad sinis terhadap kemungkinan itu. 
 
Tuan Ibrahim menyebut bahawa pada dasarnya Muhyiddin bersedia menyokong usul pindaan Rang Undang-Undang 355 yang dijadualkan dibentangkan oleh presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. 
 
Kata Tuan Ibrahim, PPBM sudahpun menyatakan persetujuannya menyokong usul yang akan dibentang sekali lagi di sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
 
“Sebenarnya, perkara ini yang kita bincang dan dia pun (Muhyiddin) dari prinsipnya bersetuju dengan RUU355, tidak ada masalah.

“Dalam mesyuarat kami, ada bicarakan isu ini. Sebenarnya wakilnya Tan Sri Muhyiddin sahaja di Parlimen,” katanya pada media selepas majlis makan malam dan dialog politik di Setiawangsa minggu lalu.

 
Tuan Ibrahim berkata, Muhyiddin turut berkata bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan RUU355 di Parlimen.
 
“Dia sudah berikan komitmen bahawa apa-apa isu yang berbangkit di Parlimen, dia tidak ada masalah. Ini hanya menaik taraf mahkamah syariah, dan beliau tidak ada masalah untuk sokong,” katanya.
 
Yang membungakan harapan ialah Muhyiddin sendiri tidak memberi komentar akan kenyataan Timbalan Presiden PAS itu. 
 
Malah apabila Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mempersoalkan jika benar Muhyiddin menyokong RUU355 mengapa beliau sendiri tidak membuat kenyataan mengenainya. Muhyiddin tetap membisu ketika itu.
 
Tuan Ibrahim menyanggah Loke bahawa DAP tiada hak bercakap bagi pihak PPBM bersabit sokongan parti itu terhadap RUU 355.
 
"Kami ada perbincangan dengan Bersatu (PPBM), jadi saya fikir, DAP tiada hak untuk bercakap bagi pihak Bersatu pun. 
 
"Jadi dia tak perlu komen saya bercakap bagi pihak Bersatu apabila dia juga bercakap bagi pihak Bersatu. Bagi kami, apa yang kami bincang, saya rasa, apa yang disebut memang fakta," katanya.
 
"Bagi kita sebagai seorang Islam kena sokong, ahli Parlimen Islam patut sokong," ulasnya. 

Malangnya, Muhyiddin terus membisu sehingga sidang media PPBM awal minggu ini apabila Tun Mahathir mengisytiharkan PPBM akan menyertai PH dengan syarat nama pakatan diubah dan kesemua kerabatnya menggunakan logo dan manifesto yang sama. 
 
Akhirnya Muhyiddin terpaksa menyatakan penafian
 
Duduk di sebelah Mahathir barulah presiden PPBM itu membuat penafian kenyataan Timbalan Presiden PAS itu dengan alasan PPBM akan meneliti usul berkenaan sebelum membuat pendirian rasmi. 
  
Menyangkal kenyataan Tuan Ibrahim, Muhyiddin berkata kenyataan pemimpin PAS itu tidak seluruhnya tepat.
 
"Pendirian saya adalah kita mahu melihat keadaan dahulu tetapi ada pihak mengandaikan bahawa kita telah bersetuju. Bagaimana kita mahu bersetuju apabila kita belum lagi jelas (mengenai pindaan yang dicadangkan)?" soalnya.
 
Dalam isu ini, wibawa Muhyiddin dan juga Tuan Ibrahim boleh dipertikaikan. Benarkah Tuan Ibrahim tersalah tafsir perbincangan beliau dengan Muhyiddin?

Atau, mungkinkah benar Muhyiddin memang ada memberi komitmen tetapi bak kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, PPBM keberatan kerana “ingin menjaga hubungan dengan PH? 

Katanya, tindakan Muhyiddin itu mungkin dibayangi keputusan pembangkang yang dikuasai oleh DAP, yang secara terang-terangan menolak RUU itu.
 
"Itu satu permuafakatan dalam saf pembangkang, walaupun secara individu ramai yang menyokong tapi mereka terpaksa mengikut apa yang ditentukan oleh pakatan mereka.
 
Bagaimanapun PAS nampaknya melihat perubahan pendirian Muhyiddin mungkin kerana desakan politik dan himpitan terbesar ialah “tekanan” Mahathir.
 
"Kemungkinan perubahan Tan Sri Muhyiddin ialah kerana (ada kaitan) PPBM untuk menyertai PH, jadi kebanyakan (parti dalam) PH tak sokong RUU355,” Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad .

 


Tags : Muhyiddin Tuan Ibrahim Tuan Man


Ruangan Komen