ISTIMEWA



 Nasional   

Isu NFC: Rafizi kesal SPRM bebaskan Shahrizat

pada 31-05-2012 06:05 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

 

SHAH ALAM: PKR menzahirkan rasa kesal bersabit keputusan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil daripada dakwaan campur tangan pemberian projek jutaan ringgit Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada ahli keluarganya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada AntaraPos.com berkata keputusan SPRM itu lebih banyak menimbulkan tanda tanya jika dibandingkan dengan siasatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali 17 tahun dahulu.

“Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC-penglibatan Datuk Seri Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali.

“Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat  dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin Ali benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM,” katanya.

Rafizi dalam pada itu berkata, rakyat boleh menilai tindakan SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

Beliau bagaimanapun berkata berbeza pula dengan layanan yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau.

Tengah hari tadi, Ketua Panel Semakan SPRM Tan Sri Hadenan Abdul Jalil mengumumkan Datuk Seri Shahrizat Jalil bebas daripada dakwaan campur tangan berhubung pemberian projek jutaan ringgit NFC kepada ahli keluarganya.

“Kami dapati Shahrizat tidak terlibat dalam proses menganugerahkan projek berkenaan kepada syarikat tersebut dan juga berhubung pinjaman mudah RM250 juta," katanya.

NFC sebelum ini didakwa menyalah-gunakan dana pinjaman mudah yang diberikan oleh kerajaan itu.

Suami Shahrizat, Mohamed Salleh Ismail adalah yang juga Pengarah Eksekutif NFC manakala anak-anaknya pula adalah pengarah.

Bagaimanapun keputusan Shahrizat dibebaskan daripada dakwaan tersebut terus menjadi tanda tanya banyak pihak, dakwa Rafizi yang mempersoalkan kredebiliti SPRM dalam mengadili siasatan yang dibuat kepada pemimpin pembangkang.

“Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas membuka fail siasatan baru terhadap Azmin walaupun tiada fakta, tetapi melepaskan sahaja Shahrizat walaupun jelas satu perbuatan pecah amanah telah berlaku,” katanya.

Malah dalam kes ini, Rafizi turut menzahirkan rasa peliknya apabila beliau dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin tidak dipanggil untuk disoalsiasat.

“Sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC?,” katanya.

Rafizi selain itu berkata biarpun kes tersebut diadili sedemikian rupa, beliau yakin bahawa rakyat boleh memutuskan sendiri keputusan yang terbaik dalam mengadili kedua-dua kes yang disabitkan kepada Shahrizat dan juga Azmin.


Ruangan Komen