ISTIMEWA



 Nasional   

MB nekad teruskan RTPJ 2 walau dibantah penduduk

pada 31-05-2012 06:05 Ditulis Oleh Aidil Syukri

Post Pic

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nekad mahu meneruskan pelan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) walaupun dibantah oleh penduduk setempat.

Malah, kata Khalid status pewartaan tanah boleh diubah jika mendapat persetujuan penduduk.

Nenurut beliau, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut untuk mendapatkan persetujuan.

Namun beliau seperti cuba mengelak apabila ditanya wartawan samada projek tersebut akan dibatalkan atau tidak sekiranya tiada persetujuan daripada penduduk.

“Sekarang masih lagi dalam keadaan ada orang yang kata (pelan rancangan) betul, ada yang kata salah.

“MBPJ juga ada structured plan (pelan tersusun). Itu sebab saya nak tengok kalau benar itu berlaku, macam kita ada apa yang dipanggil green lung (kawasan rekreasi hijau), kalau benar itu berlaku kalau kita nak buat perubahan pada green lung kita mesti mendapat persetujuan penduduk sekeliling. Itu yang penting. Jadi proses kita mesti betullah,” katanya.

Menurut Khalid lagi, beliau sendiri akan turun padang dalam masa terdekat untuk meninjau keadaan.

Untuk rekod, sebelum ini telah beberapa perjumpaan dengan penduduk dianjurkan di mana di setiap perjumpaan tersebut penduduk telah menolak pelan pembangunan tersebut bulat-bulat.

Mengulas mengenai Pelan RTPJ2 yang diserah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam oleh Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Padang Rakyat Kelana Jaya, Khalid memberitahu beliau tidak mengetahui perkara tersebut tetapi menegaskan yang SPRM berhak untuk mencari perkara yang dianggap salahguna kuasa dan rasuah.

“Saya pun tak tahu tapi SPRM berhak untuk tengok dan cari perkara yang dianggap salah guna kuasa dan rasuah.

“Pada saya berita itu adalah satu berita yang saya selalu galakkan supaya dalam usaha kita membanteras rasuah dan salah guna kuasa, usaha untuk berikan maklumat adalah sangat penting,” katanya.

Mengenai pengakuan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman tentang kesilapan MBPJ mencetak buku RTPJ2, Khalid memberitahu yang kerajaan negeri akan meminta satu jawatankuasa khas mengendalikannya.

Dalam draf asal pembangunan di kawasan tersebut, padang dan Kompleks Sukan Rakyat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah kekal sebagai kawasan hijau untuk rekreasi.

Kawasan itu juga kekal sebagai kawasan hijau melalui RTPJ2 yang diwartakan Pejabat Perancangan Bandar dan Desa pada 13 Januari 2011 serta diisytihar dan boleh disemak mulai 8 Februari 2011.

Namun, buku RTPJ2 yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menunjukkan tapak itu adalah zon perniagaan dan perkhidmatan.

Hal tersebut telah menyebabkan penduduk tidak berpuas hati.


Ruangan Komen