ISTIMEWA



 Nasional   

FGVH: Pembangkang politikkan untung peneroka

pada 31-05-2012 07:05 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Sikap pembangkang yang sering memutar-belit fakta mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Berhad ke Bursa Malaysia hanya bertujuan untuk mencetuskan kemarahan rakyat.

Namun menurut Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abul Samad berkata kerajaan tetap komited memberi jaminan kepada peneroka yang secara keseluruhanya dapat menikmati pulangan tertinggi.

"Yang pasal pembangkang pula, apa pun yang kita buat, pembangkang akan putar belit. Kalau ada yang kata kenapa yang kaya dapat banyak, yang miskin dapat sikit. Sebenarnya yang dapat banyak kerana Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji saja dekat 15 peratus.

"Peneroka walaupun dapat sekian unit, tapi keseluruhannya dekat 2.5 peratus. Kemudian campur dengan 20 peratus lagi daripada tabung amanah yang peneroka akan dapat setiap tahun.

"Maknanya peneroka yang dapat paling banyak daripada PNB, Tabung Haji. Yang bercakap ini dia tahu pasal mereka pun terlibat dengan perkara ini. Tetapi dia putar sikit supaya semua marah. Ini soal politik sebenarnya, bukan soal bisnes," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Prospektus FGVH di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut optimis bahawa masyarakat FELDA keseluruhannya menyokong penyenaraian tersebut seterusnya mampu menjadikan FELDA sebagai sebuah organisasi bertaraf global.

"Dari segi syukur, majoriti peneroka bersyukur sama ada generasi pertama, kedua. Ada la sebahagiannya yang tidak bersyukur tapi akhirnya mereka juga mendapat nikmat. Oleh itu saya percaya masyarakat FELDA akan terus bersama kerajaan supaya terus menjadi organisasi di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGVH), sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Najib berkata peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.
    
Beliau juga mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.


Ruangan Komen