ISTIMEWA



 Nasional   

Isu air tidak sepatutnya dibincang melalui media

pada 31-05-2012 07:05 

Post Pic

 

DENGKIL: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata kerajaan Selangor sepatutnya membincangkan isu air, termasuk mengenai tarif, secara terus dengan kerajaan persekutuan dan bukannya berdebat melalui media.

"Jika Selangor ingin bercakap mengenai tarif, mereka boleh datang dan berbincang dengan kami di meja rundingan.

"Perkara ini kena diteliti dalam satu mesyuarat membabitkan semua pihak baru boleh berbincang dengan berkesan, kalau diutarakan di media, kita tidak akan dapat penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Aeon Malaysia Cheers Club' di Paya Indah Wetlands.

Chin mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, bahawa projek loji rawatan air Sungai Langat 2 akan menyebabkan tariff air tinggi lapor BERNAMA.

Chin meminta kerajaan negeri agar lebih pragmatik mengenai isu tarif air, kerana tarif air pasti akan meningkat dari masa ke semasa disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kos penyelenggaraan termasuk gaji pekerja dan bahan kimia yang digunakan.

"Jangan beritahu saya jika kita tidak mencampuri isu air Selangor, kadar air tidak akan naik selama-lamanya. Kadar air akan sentiasa meningkat tetapi persoalannya sama ada kadar itu munasabah atau tidak," katanya.

Chin berkata air dari kolam lombong lama hanya boleh diguna sebagai langkah akhir, berikutan faktor kesihatan kerana ia mengandungi beberapa bahan kimia.

Sementara itu, Chin berkata lebih banyak syarikat di negara ini, terutama syarikat-syarikat asing digalak untuk menjalankan program mengenai isu alam sekitar di kalangan kanak-kanak sebagai satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial mereka.

                


Ruangan Komen